X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Isu dera kanak-kanak perlu ada penyelesaian

Satu langkah drastik perlu dilakukan segera oleh kerajaan serta pihak-pihak tertentu bagi membendung isu melibatkan penderaan kanak-kanak. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A

MASALAH penderaan kanak-kanak seolah-olah berterusan tanpa ada titik noktah dan telah menjadi penyakit sosial yang kronik dalam negara ini.

Seperti yang ramai sedia maklum, kes penderaan terhadap kanak-kanak sentiasa dilaporkan berlaku di negara kita.

Pada 14 Disember 2020, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Siti Zailah Mohd Yusoff mendedahkan bahawa sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak direkodkan di negara ini sehingga September tahun lalu.

Ujar beliau, jumlah itu menunjukkan trend menurun berbanding tahun 2019 berjumlah 6,061 sementara jumlah kes pada tahun 2018 sebanyak 5,578 kes.

Meskipun pendedahan itu menunjukkan penurunan pada trend kadar kes berkenaan, namun ia bukan satu perkembangan yang boleh dibanggakan.

Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan masa depan mereka terjejas.

Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Manakala penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

Penderaan emosi pula menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

Dalam Akta Kanak-kanak 2001 itu turut menyebut penderaan seksual adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

Apa yang ingin penulis bangkitkan ialah tahap keselamatan kanak-kanak yang berada di rumah-rumah penjagaan termasuk rumah anak-anak yatim dan pusat-pusat tahfiz serta taska.

Pada pandangan penulis, satu langkah drastik perlu dilakukan segera oleh kerajaan serta pihak-pihak tertentu bagi membendung isu melibatkan penderaan kanak-kanak.

Fokus utama yang perlu dilihat adalah dari segi jaminan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak sekiranya mereka ditempatkan di bawah pusat jagaan atau taska.

Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya dapat mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang telah diluluskan dan segera menutup mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar atau beroperasi secara haram.

Langkah tersebut itu perlu dilakukan terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram.

Ia amat bertepatan dengan objektif meningkatkan tahap kawalan bagi melindungi kanak-kanak yang berada di rumah lindungan.

Oleh itu, amat penting sekiranya kerajaan memperketat syarat pendaftaran serta mewajibkan pengambilan kursus penjagaan kepada semua pengasuh di rumah lindungan kanak-kanak.

Selain itu, adalah menjadi satu kewajipan kepada semua pihak agar memastikan kanak-kanak dapat menerima perlindungan sepenuhnya oleh keluarga dengan mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra.

Seperti mana yang terkandung dalam tujuh objektif utama Dasar Perlindungan Kanak-kanak negara, salah satu daripadanya ialah meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Isu penderaan kanak-kanak mampu dielakkan sekiranya semua pihak bertanggungjawab meningkatkan kesedaran bahawa kanak-kanak adalah insan yang paling perlu dilindungi dan diberi penjagaan yang secukupnya.

Kita tidak mahu lagi mendengar sebarang kisah-kisah sedih yang menyayat hati.

Adalah diharapkan seluruh masyarakat kena ambil tahu dan cakna dengan isu penderaan kanak-kanak di negara ini.

* Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!