[VIDEO] Perangi rasuah dengan didikan agama

Bakhtiar Fitri
Bakhtiar Fitri
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan agama adalah elemen penting dalam mendidik anak untuk membenci rasuah sejak dari kecil.

Perunding Komunikasi Keluarga, Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, agama menjadi benteng paling utuh untuk manusia menjauhi perkara yang haram dan ditegah oleh ALLAH SWT.

"Apa sekalipun dalam dunia ini kita kena balik kepada agama. Permulaannya, ibu bapa wajib memperkenalkan anak kepada kalimah La Ilaha Illallah dan apabila anak ini nak buat apa pun dia akan ingat ALLAH.

"Sebab itu nak didik anak dan nak bercerita mengenai rasuah kita kena tahu tahap bagaimana anak itu memahami perkara tersebut. Jika sudah diajar tentang agama dan kalimah La Ilaha Illallah itu, masuklah unsur apa sekalipun, dia sudah ada pendirian.

"Sekarang ini pun, kalau anak-anak kita buka internet, banyak cerita atau filem mengenai rasuah. Apabila anak-anak tengok mereka sudah tahu bahawa perbuatan itu adalah haram hasil daripada didikan agama yang diajar oleh ibu bapa," katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rumah Punca Rasuah Bermula' pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, rasuah yang berlaku di rumah antara lain berpunca daripada ibu bapa yang tidak mahu membuat perubahan walaupun tahu melakukan kesilapan dalam mendidik anak.

"Dalam psikologi sebenarnya ibu bapa yang mengekalkan sikap negatif anak. Apa anak belajar terutama mengenai pelbagai unsur permulaan rasuah di rumah adalah daripada ibu bapa itu sendiri.

"Contohnya si bapa buat kesalahan, dia menyuruh anak diamkan daripada mak dan hasilnya bapa akan bagi duit, gula-gula atau aiskrim dan itu juga satu bentuk rasuah. Ramai ibu bapa yang sedar tetapi tidak mahu mengubahnya," katanya.

Menurutnya, contoh yang baik daripada ibu bapa menjadi elemen sangat penting untuk mendidik anak menjauhi perkara yang tidak elok termasuk menolak unsur rasuah.

"Sebenarnya antara tiga elemen penting untuk membina anak yang soleh dan solehah ini adalah pertama kena ada persekitaran rumah yang baik dan menggalakkan anak kepada kebaikan.

"Kedua mesti ada contoh teladan daripada ibu bapa dan ketiga mesti ada modul pendidikan," katanya.