X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

BN Perak belum agih kerusi ditinggal Gerakan

Saarani (dua dari kiri) beramah mesra dengan veteran UMNO ketika Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dan Veteran UMNO di Dewan Serbaguna Laman Seri Ridzuan pada Rabu.
A
A

IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak belum membuat pembahagian kerusi yang ditinggalkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kepada parti komponen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua kerusi tersebut masih lagi belum diisi oleh mana-mana parti dan pengumuman mengenai pembahagian kerusi akan diumumkan serentak melibatkan kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau, proses pembahagian kerusi melibatkan kerusi Parlimen dan DUN masih lagi dilakukan menerusi rundingan bersama komponen BN.

"Kerusi ditinggalkan Gerakan masih belum diagihkan dan masih ditinggalkan kosong sebab Gerakan dahulu merupakan parti berbilang kaum, bukan parti orang Cina atau orang Melayu.

"Sebab itu kita akan melihat mana komponen parti yang boleh mengambil tempat itu untuk kita menangi," katanya kepada pemberita selepas Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) dan Veteran UMNO di Dewan Serbaguna Laman Seri Ridzuan di sini, pada Rabu.

Gerakan sebelum ini merupakan komponen BN, bagaimanapun selepas PRU14 mereka mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan seterusnya menyertai gabungan Perikatan Nasional bersama Pas.

Di Perak, Gerakan bertanding di tiga kawasan Parlimen iaitu Teluk Intan, Beruas dan Taiping manakala tiga lagi kerusi DUN iaitu Canning, Jalong dan Aulong.

Sementara itu, Saarani tidak menolak kemungkinan calon daripada Rakan BN akan dipilih mewakili parti itu bertanding pada PRU15 nanti.

Menurutnya, jika individu tersebut memenuhi kriteria dan mampu membawa kemenangan kepada BN, tidak mustahil untuk dipilih sebagai calon.

"Macam saya sebutkan sebelum ini, apabila kita letakkan calon, kita kena letakkan calon yang boleh menarik undi dan kita menang di situ.

"Jadi kalau ada keperluan, ada peluang untuk kita menang melalui Friends of BN, kita akan pertimbang untuk meletakkan calon dari komponen itu dengan syarat boleh menang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!