Wanita paling ramai jadi mangsa 'scammer'

Eng Lai (tengah) ketika bercakap pada Sesi Town Hall IPD Sentul.
Eng Lai (tengah) ketika bercakap pada Sesi Town Hall IPD Sentul.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita merupakan golongan paling ramai terjerat dengan tipu helah sindiket penipuan dalam talian atau 'scammer' dengan merekodkan 55 peratus kes berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, antara penipuan yang menjadi lubuk sindiket mencari mangsa adalah seperti pembelian dalam talian, Macau Scam, Parcel Scam, Love Scam dan pinjaman tidak wujud.

Menurutnya, wanita yang kesunyian menjadi mangsa paling ramai membabitkan sindiket Love Scam.

"Statistik mengikut kaum pula merekodkan orang Melayu paling ramai iaitu 40 peratus diikuti Cina (30 peratus), India (19 peratus) dan lain-lain kaum (11 peratus).

"Malah mereka yang berusia 17 hingga 40 tahun adalah paling ramai menjadi mangsa penipuan iaitu sebanyak 65 peratus," katanya pada sesi 'Town Hall' berhubung isu 'scammer' dalam talian oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kepong 2 di sini, pada Rabu.

Eng Lai berkata, individu dalam lingkungan usia tersebut mudah menjadi mangsa kerana lebih kerap menggunakan telefon pintar untuk melayari internet dan media sosial yang merupakan tempat utama sindiket berkenaan mencari mangsa.

"Mereka terlampau obses untuk membeli barangan dalam talian terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan.

"Manakala sebanyak 23 peratus adalah golongan berusia 41 hingga 60 tahun menjadi mangsa penipuan di mana kajian mendapati mereka kurang pengetahuan mengenai 'scammer' kerana tidak membaca surat khabar dan internet," katanya.

Menurut Eng Lai, mangsa penipuan ini datang dari pelbagai latar belakang malah kebanyakan daripada mereka merupakan golongan profesional seperti jurutera dan pesara kerajaan.