Perak FC ikat tiga import baharu

Stipe Plazibat (kiri), Sunday Kolawole (dua dari kanan) dan Luciano Guaycochea (kanan) selesai menandatangani kontrak sebagai pemain Perak FC bersama Abdul Azim.
Stipe Plazibat (kiri), Sunday Kolawole (dua dari kanan) dan Luciano Guaycochea (kanan) selesai menandatangani kontrak sebagai pemain Perak FC bersama Abdul Azim.
A
A
A

PERAK FC mengikat tiga pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad berkenaan bagi mengharungi cabaran baki perlawanan saingan Liga Perdana musim ini.

Pemain berkenaan adalah Stipe Plazibat, 32, dari Croatia yang beraksi di posisi penyerang.

Pemain yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun itu pernah beraksi bersama kelab Lion City Sailors, Singapura dan Academica Clinceni dari Romania.

Pemain kedua ialah Luciano Guaycochea, 30, dari Argentina yang bermain di posisi penyerang tengah.

Luciano berhijrah dari kelab Bolivia, Oriente Petrolero selain pernah bersama kelab Dep Moron di Argentina.

Pemain di posisi tengah pula adalah Sunday Kolawole Afolabi, 22, dari Nigeria yang berpengalaman bersama kelab Leiria, Portugal dan Puchov, Slovakia.

Stipe Plazibat (kiri), Sunday Kolawole (tengah) dan Luciano Guaycochea akan beraksi bersama Perak FC pada saingan Liga Perdana.
Stipe Plazibat (kiri), Sunday Kolawole (tengah) dan Luciano Guaycochea akan beraksi bersama Perak FC pada saingan Liga Perdana.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, menjadi matlamat pihaknya untuk menamatkan perlawanan dalam kelompok lima pasukan terbaik bagi melayakkan pasukan untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

"Kami amat menagih sokongan daripada seluruh peminat dan penyokong pasukan Perak FC dalam apa jua bentuk sekalipun bagi menjadikan pasukan ini kembali digeruni seperti dahulu.

"Dengan kehadiran tiga pemain ini, kehadiran penyokong diharapkan semakin meningkat sama ada di stadium mahupun siaran secara langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Kontrak Tiga Pemain Import Perak FC di Menara SSI di sini pada Rabu.

Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah berkata, kehadiran tiga pemain import itu meskipun suatu cabaran besar perlu digalas, ia memberi suatu kelegaan kepada skuad.

"Saya belum dapat melihat secara dekat dan malam ini mereka akan berlatih buat pertama kali sekali gus dapat meraih persefahaman dengan pemain lain.

"Ia suatu cabaran buat saya kendalikan sembilan perlawanan akan datang bersama pemain baharu. Kita perlu lihat dan kaji seandainya mereka mampu adaptasi dengan cuaca dan perbezaan masa, mereka akan diturunkan pada perlawanan pertama nanti," katanya.