'Perang besar' di PRK Dun Rantau?

A
A

KEMENANGAN bergaya PH di PRK14, kemudian meneruskan momentum di empat PRK, namun mula tewas di dua PRK iaitu Cameron Highland dan Semenyih semestinya membuatkan gabungan itu mula tidak senang duduk.

Semestinya PRK Rantau kali ini menjadi medan penting buat PH lebih-lebih lagi yang perlu dicabar ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau dikenali sebagai Tok Mat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan PRK DUN Rantau adalah peperangan besar antara PH dan BN.

Ini adalah PRK kedua di Negeri Sembilan selepas Parlimen Port Dickson pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti 23,560 undi, mengalahkan enam pencabarnya.

PRK Rantau pula perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Tok Mat untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Itu juga diakui oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook yang berkata, pilihan raya kali ini menjadi ibu kepada semua PRK kerana berdepan dengan Mohamad.

Katanya, jika keputusan PRK kali ini berpihak kepada PH, ia akan beri implikasi besar kepada UMNO dan BN kerana berjaya menewaskan pemimpin utama mereka.

Merampas DUN Rantau daripada Tok Mat seolah-olah menjatuhkan UMNO yang baharu bangkit yang mana buat masa ini pemimpin itu antara harapan terakhir untuk menyelamatkan parti keramat UMNO.

Mana tidaknya, beliau mempunyai prestasi cemerlang, bersih dan lebih berkredibiliti, berbanding pemimpin UMNO lain.

Kejayaan Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Tok Mat selama tiga penggal juga tidak dapat disangkal lagi.

Pembangunan pesat terutama di Sendayan yang berada di bawah DUN Rantau yang dahulunya dilihat sebagai projek terbengkalai kini dilihat gah.

Persoalannnya adakah calon PH, Dr S Streram yang dianggap sebagai kontroversi kerana pencalonannya banyak tentangan mampu menentang Tok Mat?

Pemilihan Streram sebagai calon juga terus dipersoalkan oleh ahli partinya sendiri kerana status beliau selaku orang luar yang tidak dikenali.

Malah ada ahli PKR yang mendakwa Streram berlagak bagus kerana tidak perlukan jentera parti PKR di Rantau untuk membantunya sebaliknya memilih kroninya sendiri.

Ketidakpuasan itu turut diluahkan oleh barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sehingga ada yang mengaku akan mengundi Tok Mat jika Streram terus dipilih.

Ahli PKR sendiri yang menolak calon mereka, inikan pula pengundi dan ia tidak sepatutnya dipandang ringan oleh kepimpinan PH.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengakui kerusi itu kubu kuat UMNO dan memerlukan kerja keras untuk memastikan kemenangan.

Pada pilihan raya kali ini, sebanyak 16 pusat mengundi membabitkan 55 saluran yang mana seramai 20,926 layak mengundi dengan 20,804 pemilih biasa, 118 pengundi awal manakala empat pengundi luar negara.

Seramai 11,615 pengundi atau 55.51 peratus adalah Melayu, Cina 3,863 pengundi atau 18.46 peratus, India 5,441 pengundi atau 26 peratus dan lain-lain tujuh pengundi atau 0.03 peratus.

Jika diteliti helaian keputusan PRU bagi DUN Rantau pada PRU12 dan PRU13, Tok Mat mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU12 dan PRU13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

Begitu juga pada PRU11, Tok Mat menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin dengan majoriti 6,199. undi.

Siapa pun yang akan menang pada PRK kali ini, hanya mampu diketahui selepas selesai proses pengiraan undi pada 13 April ini.

Bukan sahaja warga Rantau, tapi seluruh rakyat Malaysia kerana yang mahu dicabar itu ialah Tok Mat iaitu panglima perang UMNO yang dilihat tunjang baharu BN.

INFO: Rantau ialah sebuah pekan kecil dalam Daerah Pentadbiran Seremban.

- Terletak 15 kilometer dari Ibu Negeri, Seremban.

- Ia adalah satu kawasan pertanian dan juga ladang getah.

- Masyarakatnya majmuk terdiri daripada keturunan Melayu,Cina dan India.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia