Pemilihan pemain profesional demi sasaran: Rexy

Rexy Mainaky
Rexy Mainaky
A
A
A

PEMILIHAN pemain profesional bagi mengisi slot beregu campuran ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini, adalah untuk memastikan sasaran dua pingat emas tercapai.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia baru-baru ini, berkata, gandingan Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dipilih berdasarkan pengalaman serta prestasi semasa kedua-dua beregu profesional itu.

Beliau berkata, pemilihan itu tidak bermakna BAM menafikan keupayaan atlet di bawah badan induk itu, namun lebih kepada percaturan untuk meraih kejayaan dengan memanfaatkan kelompok pemain sedia ada.

"Pasangan beregu campuran baharu (BAM) cukup baik di Kejohanan Terbuka Indonesia tetapi belum juara, macam kita tengok beregu campuran profesional negara Kian Meng-Pei Jing pernah menjuarai Terbuka Korea dan tewaskan pasangan tuan rumah.

"Kita juga ada Peng Soon-Yee See dan Sukan Komanwel tidak boleh senaraikan 10 pemain seperti di Piala Thomas dan Uber, saya nampak Yee See juga boleh main dalam pelbagai acara," katanya yang optimis pasukan negara mampu memenuhi sasaran dua emas ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia itu.

Peng Soon-Yee See dan Kian Meng-Pei Jing merupakan beregu campuran terbaik negara dengan masing-masing kini menghuni ranking kelapan dan kesembilan dunia.

Malah pada April lepas, Kian Meng-Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila menjuarai Terbuka Korea Selatan selepas menewaskan wakil tuan rumah Ko Sung Hyun-Eom Hye Won.

Diminta memberi bayangan sekiranya akan menurunkan pemain secara 'scratch pair' Rexy yang juga pemenang emas acara beregu lelaki Sukan Olimpik Altanta 1996, secara ringkas berkata: "itu rahsia".

Selain kedua-dua beregu itu, kem badminton negara yang menyasarkan emas menerusi acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran, turut dibarisi jaguh perseorangan Lee Zii Jia, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, perseorangan wanita Goh Jin Wei dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah

Pada edisi 2018, badminton membawa pulang satu perak menerusi berpasukan campuran dan dua gangsa dalam beregu lelaki dan campuran. - Bernama