[VIDEO] BKM: Kerajaan umum tambahan tunai sehingga RM100

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan pada Rabu mengumumkan tambahan bayaran tunai sehingga RM100 yang akan disalurkan menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan RM100 adalah bagi penerima kategori isi rumah, manakala RM50 kategori bujang.

“Seperti yang telah saya umumkan (sebelum ini), pada 1 Julai nanti harga ayam tidak lagi disubsidi walaupun kerajaan telah keluarkan RM700 juta (subsidi) supaya tiada kenaikan harga, tetapi kita lihat harga tidak kekal seperti yang ditetapkan iaitu RM8.90 per kilogram (kg).

“Ada yang naik sampai RM10 (per kg), ada naik sampai RM13 dan sebagainya. Jadi harapan kerajaan (untuk menstabilkan harga ayam) dengan belanja RM700 juta subsidi tidak tercapai kerana masih ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dan sebagainya.

“Oleh itu mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan makanan kebelakangan ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sebanyak RM100 untuk kategori isi rumah dan RM50 golongan bujang,” katanya ketika sidang akhbar khas pada Rabu.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, bayaran tunai tambahan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM630 juta itu akan dikreditkan ke akaun penerima mengikut kategori masing-masing bersekali dengan bayaran fasa dua BKM bermula 27 Jun ini.

Katanya, bayaran tersebut akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi empat juta golongan isi rumah, 1.2 juta warga emas, bujang dan tiada pasangan serta 3.4 juta individu bujang.

“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

“Kalau dahulu sepatutnya (penerima) menerima maksimum RM400, apabila dimasukkan bayaran tambahan RM100 maka penerima akan dapat RM500. Pembayaran ini juga bagi mengurangkan beban kewangan golongan B40 terutama dalam menyambut perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutama melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan terus memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya.