X

Kindly register in order to view this article
!

Jerman penyumbang utama FDI di Melaka

Mohd Rafiq (tengah) menunjukkan laporan penyumbang utama FDI pada tahun lalu.
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) terbesar dari negara Jerman dengan sebanyak RM620.2 juta dalam sektor industri elektronik dan elektrik (E&E), tahun lalu.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Niazamohideen berkata, secara keseluruhan FDI yang direkodkan di negeri ini sebanyak RM773.1 juta atau 23.8 peratus dengan selain Jerman iaitu negara China RM40.9 juta dan Australia sebanyak RM59.5 juta.

Menurutnya, pelaburan langsung domestik (DDI) adalah penyumbang utama dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.48 bilion atau 76.2 peratus. "Melaka mencatatkan tiga pelabur terbesar iaitu yang tertinggi Jerman, China dan Australia.

"Pelaburan dari Jerman itu mengkhususkan dalam industri E&E yang mengeluarkan peranti semikonduktor serta projek di dalam sektor jentera dan peralatan (M&E)," katanya.

Mohd Rafiq berkata demikian ketika sidang media tarif air industri Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Menara Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq berkata, Melaka masih mencatatkan kadar tarif air yang terendah bagi kategori industri berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, tarif air bersih yang masih kekal sejak 2016 itu secara tidak langsung menjadi tarikan pelabur dan antara penyumbang kemasukan pelaburan ke Melaka dengan kadar tarif yang dikenakan RM2 bagi 0 hingga 50 meter padu, RM2.05 bagi 50 hingga 100 meter padu manakala kadar melebihi 100 meter padu dan ke atas pada harga RM2.15.

"Dengan kekuatan tiga empangan dan sembilan loji yang keseluruhan berkapasiti 639 juta liter sehari mampu menampung keperluan air di negeri ini dan daripada jumlah itu 68 juta liter air telah disalurkan ke kawasan perkilangan.

"Difahamkan dalam masa terdekat SAMB akan membina loji tambahan fasa 2 di Merlimau yang dijangka siap pada tahun depan selain pembinaan Loji Air Jernih yang akan siap sepenuhnya pada 2020," katanya.