Makan durian sampai kenyang

Pengunjung boleh makan durian seberapa banyak yang mereka mahu dengan harga RM50 seorang.
Pengunjung boleh makan durian seberapa banyak yang mereka mahu dengan harga RM50 seorang.
A
A
A

KUBANG PASU - Dua beradik di Kampung Sungai Kechil Jalan Changkat Setol, Changlun di sini menawarkan pakej menikmati pelbagai jenis durian dalam dusun mereka dengan harga serendah RM50 seorang.

Pemilik Dusun Durian Teratak Chu Tiah, Ahmad Luqman Hakim Nor Azlan, 32, berkata, dia mengusahakan dusun berkenaan bersama adiknya, Ahmad Badiuzzman Nor Azlan, 30, sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, terdapat pelbagai jenis durian boleh dinikmati di dusun berkenaan dan pelanggan boleh makan seberapa banyak durian yang mereka mahu di situ.

"Kita beroperasi setiap hari kecuali pada hari hujan lebat untuk elakkan perkara tidak diingini berlaku memandangkan di sini ada anak sungai dari air Bukit Perangin," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Ahmad Luqman Hakim (kiri) dan Ahmad Badiuzzman menunjukkan antara buah klon yang terdapat di dusun mereka.
Ahmad Luqman Hakim (kiri) dan Ahmad Badiuzzman menunjukkan antara buah klon yang terdapat di dusun mereka.

Ahmad Luqman Hakim berkata, terdapat dua sesi ditawarkan untuk mengelakkan kesesakan pengunjung iaitu sesi pagi dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sesi petang dari jam 2.30 petang hingga 5 petang.

"Bagi pakej A kita menyediakan buah durian kahwin dan durian kampung manakala pakej B adalah secara timbang kilo bagi buah klon jenis udang merah,horlor, D28 dan M.Johor.

"Bagi kedua-dua pakej ini kita turut sediakan pulut, santan dan minuman secara percuma selain pengunjung turut berpeluang mandi manda di sungai yang ada di dusun ini," katanya.

Ahmad Luqman Hakim
Ahmad Luqman Hakim

Menurutnya, pakej makan durian dalam dusun itu akan dibuka sehingga pertengahan Julai kerana musim durian selalunya agak singkat.

"Setiap hari kami perlu menyediakan 500 kilogram buah untuk menampung jumlah pengunjung yang masuk ke dusun ini.

"Jadi kepada yang hendak merasai pengalaman bersantai di dusun dengan keluarga dan rakan-rakan saya nasihatkan buat tempahan dua atau tiga hari sebelum kerana slot kita terhad," katanya.

Ahmad Luqman Hakim berkata, setakat ini sambutan pengunjung sangat memberangsangkan dan ramai berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

"Alhamdulillah setakat sekarang kami turut terima pengunjung dari luar Kedah termasuk dari Johor dan Kuala Lumpur.

"Insya-ALLAH selepas tamat musim durian ini kita akan kembali kepada promosi makan dalam sungai secara bufet," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Siti Jamilah Baharudin, 34, dari Alor Setar berkata, ini merupakan kali kedua dia berkunjung ke dusun berkenaan bersama keluarga.

Siti Jamilah menunjukkan durian yang dinikmatinya di Dusun Durian Teratak Chu Tiah pada Rabu.
Siti Jamilah menunjukkan durian yang dinikmatinya di Dusun Durian Teratak Chu Tiah pada Rabu.

"Saya memang 'hantu durian' jadi rasa berbaloi datang makan kat sini, suasana pun tenang boleh bergambar dan hirup udara segar.

"Isi durian pun elok-elok dan sedap, ini pun dah empat biji durian saya dan keluarga makan," katanya.

Bagi Hasnah Jusid, 30, dari Kuala Lumpur, kesempatan bercuti di Kedah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menikmati durian dalam suasana dusun.

Hasnah (dua dari kanan) berpeluang merasai pengalaman menaiki kenderaan pacuan empat roda meredah anak sungai untuk masuk ke dusun durian.
Hasnah (dua dari kanan) berpeluang merasai pengalaman menaiki kenderaan pacuan empat roda meredah anak sungai untuk masuk ke dusun durian.

"Kalau di Kuala Lumpur susah hendak dapat durian murah dan isi yang elok.Tapi di sini durian sedap, dan dapat nikmati kehijauan alam lagi.

"Sangat menenangkan apatah lagi saya turut berpeluang merentasi sungai dan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk masuk ke dusun ini," katanya yang bercadang membawa rakan sekerja dari Kuala Lumpur ke dusun berkenaan.