Cacar monyet: Johor tingkat langkah waspada di sempadan

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Notis peringatan diedarkan kepada pegawai bertugas di sempadan Malaysia-Singapura sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak itu

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, pengedaran notis tersebut dibuat susulan laporan terhadap satu kes import cacar monyet di republik itu, pada Isnin lalu.

"Sekiranya pegawai di sempadan terutama petugas Jabatan Imigresen Malaysia menyedari terdapat simptom cacar monyet seperti di dalam notis peringatan diedarkan, mereka perlu segera buat laporan kepada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

"Kita juga sudah edarkan prosedur operasi standard (SOP) kepada kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di sempadan supaya lakukan pemeriksaan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail di sini, pada Rabu.

Tian Soon yang Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Yong berkata, keadaan ketika ini masih stabil walaupun setiap hari ramai pengembara dari Singapura memasuki Johor.

"Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu sudah diminta mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkembangan terbaharu kes cacar monyet berkenaan.

"Kerajaan Johor akan bekerjasama rapat dengan Singapura bagi memastikan penularan cacar monyet dapat dielakkan," katanya.

Pada Rabu, Singapura mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet atau monkey pox di republik itu membabitkan seorang lelaki warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), lelaki itu berada di sini antara 15 hingga 17 Jun 2022 dan sekali lagi pada 19 Jun.