Hadiah terakhir sebelum 'pergi'

Sulaiman menunjukkan gambar arwah Sukhairi.
Sulaiman menunjukkan gambar arwah Sukhairi.
A
A
A

SEGAMAT - “Beberapa minggu sebelum pemergiannya, dia ada belikan banyak barang untuk rumah.

Saya ada cakap tak perlu susahkan diri beli semua ini, tapi Sukhairi kata tak mengapa sebab apa yang dia belikan tak akan sama nilainya dengan jasa ibu dan ayah membesarkan dia,” demikian luahan seorang ibu yang mengimbau semula kenangan terakhir bersama arwah anaknya sebelum pemuda itu maut dalam kemalangan, awal pagi kelmarin.

Ibu mangsa, Kelsom Ahmad, 57, berkata, kini hanya barangan dibelikan arwah iaitu mesin basuh, peti sejuk serta penghawa dingin menjadi ingatan terakhir dia dan suami.

Mohd Sukhairi Sulaiman, 35, ditemui maut dalam kebakaran selepas lori membawa muatan simen terlibat kemalangan di Kilometer 135 Johor Bahru- Seremban di Jalan Labis-Yong Peng, Chaah, di sini.

Menurut Kelsom, anak keduanya daripada empat beradik itu merupakan pemandu treler sejak tiga tahun dan seringkali berulang-alik dari rumah mereka di Felda Kemelah ke Singapura untuk menghantar bancuhan simen secara pukal.

“Beberapa minggu sebelum kemalangan ini, Sukhairi belikan macam-macam barang keperluan rumah.

Dia belikan mesin basuh, peti ais dan penghawa dingin. Katanya untuk kemudahan dan keselesaan kami.

Artikel Berkaitan:

“Malah, dia juga berkeras mahu belikan saya tudung tapi saya enggan.

Namun, tak sangka dia belikan juga secara senyap-senyap secara atas talian dan saya hanya mengetahui hadiah itu sebaik ia sampai ke rumah,” katanya ketika ditemui.

Menurut Kelsom, selain itu, Sukhairi turut membelikan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda bernilai lebih RM100,000 buat bapanya.

“Memang sebak apabila mengenangkan semua barang-barang yang arwah beli ini kini jadi ingatan terakhir kami kepadanya.

Masa dia beli kereta, ayahnya (Sulaiman Mohamad, 63) memang tak nak sebab terlalu mahal.

“Malah, Sukhairi sendiri pun guna kereta biasa sahaja yang harganya jauh lebih murah.

Namun arwah tetap berkeras sebab katanya, dia beli mahal mana pun tak akan mampu balas jasa ibu dan ayah besarkan dia,” katanya sebak.

Ujar Kelsom, pada malam kejadian itu, dia juga masih ingat sikap Sukhairi yang secara tiba-tiba mahu memasak nasi untuk hidangan makan malam mereka sekeluarga.

“Malah, lauk sardin yang saya masak juga dimakan dengan berselera sekali.

Dia asyik puji cakap masakkan saya kali ini sedap sangat rasanya lain daripada sebelum ini.

“Selepas itu, arwah juga sempat bawa bekal lauk sardin dengan begitu banyak.

Katanya nak kongsi dengan rakan.

Tak sangka rupanya itulah kenangan terakhir kami bersama Sukhairi,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman yang reda dengan pemergian anaknya akui terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Dalam jam 8.30 pagi semalam, saya yang berada di kebun dimaklumkan salah seorang penduduk mengenai kemalangan membabitkan lori anak saya dan rakannya.

Rupanya, dalam Whats App jiran tetangga, mereka dah bagitahu sejak awal pagi, cuma saya saja yang tak perasan.

“Malam sebelum kejadian, Sukhairi ada maklumkan perjalanannya ke Singapura secara konvoi bersama seorang lagi rakannya yang memandu lori dihadapan.

Namun, tak sangka, dia merempuh lori rakannya di hadapan yang dikatakan berhenti secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kebakaran,” katanya.