Liga Arab saluran terbaik kutuk AS, Israel

AZMI HASSAN
AZMI HASSAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) disifatkan bukan landasan terbaik untuk mengusul resolusi mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Bukit Golan di Syria.

Penganalisis Politik, Azmi Hassan berkata, ini disebabkan AS mempunyai kuasa veto ke atas PBB melalui Majlis Keselamatan manakala OIC pula dilihat tidak banyak pengaruh memandangkan sejumlah besar negara dalamnya merupakan sekutu kepada negara di bawah pimpinan, Donald Trump.

"Justeru, langkah terbaik adalah melalui Liga Arab (Arab Saudi, Qatar, Kuwait dan Bahrain) kerana AS amat bergantung kepada empat negara terbabit.

"Bertindak sebagai negara terbesar pengeluar minyak menyebabkan AS bergantung dengan negara-negara Arab bagi memastikan harga minyak stabil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tambah Azmi, paling kritikal apabila negara Liga Arab merupakan pelanggan utama peralatan tentera yang secara tidak langsung menjamin kemakmuran industri pertahanan AS.

"Jika, Arab Saudi mengurangkan perolehan senjata, tindakan itu akan menjejaskan industri pertahanan sekali gus menyebabkan kebimbangan rakyat Amerika kehilangan kerja. Ini bermakna, pengaruh Liga Arab lebih besar berbanding PBB atau OIC," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu dalam konteks Malaysia terdapat dua kaedah untuk mengutuk tindakan AS.

Pertama menggunakan PBB tetapi, resolusi menerusi saluran itu tidak kuat untuk memaksa AS dan Israel kecuali melalui Majlis Keselamatan PBB. Namun, Malaysia bukan ahli tidak seperti Indonesia dan Kuwait.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, Malaysia boleh memujuk atau bekerjasama dengan dua negara ini untuk mengusul resolusi kutuk AS dan Israel.

"Selain itu, kita juga boleh mempengaruhi Arab Saudi dan Qatar supaya mengecam tindakan AS memandangkan kedua-dua negara tersebut mempunyai hubungan yang akrab antara Malaysia dan AS," tegasnya.

Isnin lalu, Trump mengisytiharkan Bukit Golan di Syria yang dirampas Zionis sejak 1967 adalah sebahagian daripada wilayah Israel.