Usaha kerajaan bantu pelajar B40 lanjutkan pengajian harus dipuji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KERAJAAN seharusnya diberi pujian apabila memperkenalkan Program Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Seramai 1,000 pelajar seluruh negara terbabit dalam pengambilan siri pertama program berkenaan membabitkan perbelanjaan RM36.41 juta.

Ismail turut meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa dengan wujudnya program ini ia akan dapat menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia terutama daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad menyifatkan langkah itu juga dapat mengurangkan jurang antara golongan berada dan tidak berada di dalam negara, seterusnya mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan berdaya saing.

Kata Nor Hizwan, TVET kini tidak lagi dianggap sebagai landasan pendidikan kelas kedua. Banyak negara maju seperti Jepun dan Jerman, TVET menjadi pilihan utama untuk pelajar.

Jelasnya lagi, dalam landskap teknologi yang pesat membangun pada masa kini, mereka yang mempunyai latar belakang TVET pasti mempunyai kelebihan.

Sementara itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapannya ketika hadir pada Minggu TVET Negara (MTN) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Isnin berkata, agenda utama pemerkasaan TVET adalah membangunkan Pelan Penjenamaan TVET Negara.

Antaranya adalah dengan memperkenalkan logo TVET Malaysia. Logo ini akan menjadi simbol kebersamaan semua kementerian penyedia TVET.

Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memilih slogan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ dalam memposisikan TVET di laluan pendidikan utama, sekali gus menjadikannya sebagai antara pilihan kerjaya yang direbut.

Noraini berkata, di Malaysia ada sejumlah 1,295 buah institusi dan penyedia TVET merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan 11 kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta.