Ganti dapur kualiti elak peralatan masak meletup lagi

Sinar Harian pada Isnin melaporkan dapur gas mudah alih untuk memasak 'steamboat' meletup dalam kejadian di sebuah restoran di Alam Mesra pada malam Ahad.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan dapur gas mudah alih untuk memasak 'steamboat' meletup dalam kejadian di sebuah restoran di Alam Mesra pada malam Ahad.
A
A
A

TERKEJUT besar Merak Jalanan membaca berita satu keluarga cedera apabila dapur peralatan memasak steamboat meletup di Sabah dua hari lalu.

Sebagai salah seorang peminat masakan berkonsep steamboat, memang menjadi acara wajib Merak Jalanan makan-makan bersama keluarga atau rakan-rakan. Kadangkala sebulan dua tiga kali singgah kedai kegemaran di Klang dan Shah Alam.

Kedai-kedai ini menjadi pilihan sebab selain steamboat, ada juga kedai yang lengkap dengan kuali masakan grill.

Tapi rasanya, sejak beberapa hari ini mesti peminat-peminat steamboat dan grill berfikir dua tiga kali untuk singgah makan di kedai seperti itu.

Siapa tidak seram dan risau, membayangkan dapur serta periuk atas meja betul-betul depan muka meletup.

Apatah lagi biasanya, periuk steamboat berisi kuah sup atau tomyam panas.

Bagi Merak Jalanan, pengusaha-pengusaha kedai steamboat perlu mengambil iktibar daripada insiden malang yang berlaku di Sabah itu.

Ini kerana kebiasaannya dapur memasak untuk steamboat menggunakan dapur mudah alih yang senang dibawa ke mana-mana kerana saiznya kecil.

Bagaimanapun dapur seperti ini adalah peranti bagi kegunaan aktiviti ringan dan sederhana terutamanya untuk berkhemah dan piknik.

Namun, penggunaan untuk jangka masa yang panjang seperti lima hingga lapan jam setiap hari sudah tentulah mendatangkan risiko.

Apatah lagi, jika pengusaha kedai bersikap ambil mudah, menggunakan jenama yang murah dan tanpa penyelenggaraan sepatutnya.

Merak Jalanan sarankan adalah lebih baik untuk pihak berkuasa mengarahkan kedai-kedai steamboat beralih kepada dapur yang lebih selamat dan berkualiti. Nyawa dan keselamatan pengguna sangat penting berbanding berdepan tragedi.