Kerajaan bakal bangunkan MyNAP hadapi perubahan iklim

Ismail Sabri ketika mempengurusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) yang diadakan secara dalam talian pada Selasa.
Ismail Sabri ketika mempengurusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) yang diadakan secara dalam talian pada Selasa.
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan akan membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang serta pembangunan kebangsaan bagi menghadapai impak perubahan iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MyNAP akan meliputi sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia secara dalam talian membincangkan hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

"Ini berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat hingga mengakibatkan fenomena banjir besar. Ini kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi di samping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim.

Dalam pada itu Ismail Sabri menjelaskan, antara tindakan lain yang akan dilaksanakan adalah menggalakkan kerajaan negeri mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim.

"Tindakan lain yang akan dilaksanakan adalah mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir," katanya.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) secara berkesan.

Katanya, ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan mesra alam serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan.

Dalam perkembangan sama Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.

"Kerangka ini memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara," katanya.

Pada masa ini, KASA sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih seawal 2050.

Dalam pada itu Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa komitmen dan usaha kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 6 hingga 18 November ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta Menteri Alam Sekitar dan Air.

"Selaras aspirasi 'Keluarga Malaysia Lestari', kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang," katanya.