Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
BURSA Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian pada Selasa didorong sentimen pasaran yang bertambah baik di seluruh rantau ini memandangkan sokongan belian muncul terutama di kaunter penjagaan kesihatan, teknologi serta tenaga, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks barometer meningkat 16.64 mata atau 1.15 peratus kepada 1,457.88 daripada 1,441.24 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu mencecah paras terendah 1,443.26 pada sebelah bagi selepas ia dibuka 2.06 mata lebih tinggi kepada 1,443.30.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 684 berbanding 308, manakala 333 kaunter tidak berubah, 950 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.79 bilion unit bernilai RM1.86 bilion daripada 2.62 bilion unit bernilai RM1.69 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks-undeks utama serantau adalah lebih tinggi apabila prestasi niaga hadapan Wall Street yang memberangsangkan telah menambah baik sentimen pasaran keseluruhannya.

Beliau berkata pelabur juga mengambil peluang untuk membeli saham pada harga lebih rendah susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini.

"Bagi bursa tempatan, kami berhati-hati namun optimis memandangkan sentimen pasaran serantau yang lebih baik namun, pelabur akan kekal berwaspada berikutan turun naik pasaran yang semakin ketara,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan indeks penanda aras mengalami prestasi tidak banyak berubah dengan kecenderungan pada julat 1,440 hingga 1,465 untuk baki tempoh minggu ini.

"Dari sudut pandang teknikal, kita akan melihat rintangan serta-merta pada 1,490 dan sokongan pada 1,435,” katanya.

Saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank tidak berubah pada RM8.65, IHH Healthcare menokok 16 sen kepada RM6.49, Hartalega naik 12 sen kepada RM2.94, Top Glove menambah 9.5 sen kepada RM1.08, Dialog Group meningkat tujuh sen kepada RM2.10 dan Inari Amertron naik lima sen kepada RM2.65.

Bagi saham aktif, Dagang NeXchange naik 3.5 sen kepada 80 sen, SFP Tech menokok 2.5 sen kepada 69.5 sen, Widad Group menambah setengah sen pada 36.5 sen, KNM Group susut setengah sen kepada 13 sen manakala Yong Tai tidak berubah pada sembilan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 132.61 mata kepada 10,394.85; Indeks FBM Emas Syariah meningkat 162.51 mata kepada 10,567.55; FBM 70 melonjak 188.56 mata kepada 12,552.43; Indeks FBMT 100 menambah 124.31 mata kepada 10,131.30 dan FBM ACE menokok 87.42 mata kepada 4,824.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 114.19 mata kepada 16,159.18; Indeks Perladangan naik 0.47 mata kepada 7,114.97 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.88 mata kepada 186.36.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.69 bilion saham bernilai RM1.56 bilion daripada 1.43 bilion saham bernilai RM1.28 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran sebanyak 543.84 juta unit bernilai RM102.68 juta berbanding dengan 389.81 juta unit bernilai RM88.63 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 555.05 juta saham bernilai RM200.21 juta daripada 801.26 juta saham bernilai RM320.01 juta pada Isnin.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 185.97 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (496.11 juta), pembinaan (34.83 juta), teknologi (235.62 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.78 juta), hartanah (220.45 juta), perladangan (32.70 juta), REIT (4.96 juta), dana tertutup (4,400), tenaga (194.48 juta), penjagaan kesihatan (155.50 juta), telekomunikasi dan media (29.87 juta), pengangkutan dan logistik (31.26 juta) serta utiliti (14.16 juta). - Bernama