X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Muhyiddin mahu PM selesai segera isu Zuraida

Muhyiddin Yassin
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu isu membabitkan kerusi Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi yang dipegang oleh Datuk Zuraida Kamaruddin dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, Bersatu telah menyatakan pendirian bahawa kerusi tersebut adalah milik parti itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuat keputusan sebaik mungkin.

"Saya sedang menunggu tarikh untuk bertemu dengan Perdana Menteri. Saya minta supaya Perdana Menteri beri keutamaan kerana tarikh pengumuman keluar parti yang dibuat Zuraida sudah melangkaui dua minggu dan ia satu tempoh yang sangat lama.

"Saya tidak mahu ulas mengenai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Saya cuma ambil berat mengenai Bersatu dan kedudukan kita dalam kerajaan yang menjadi sebahgaian daripada kandungan perjanjian antara Perdana Menteri dan pimpinan Perikatan Nasional," katanya dalam sidang akhbar selepas program #RuangBelia di Sime Darby Convention Center (SDCC), pada Selasa.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selain keluar Bersatu untuk sertai PBM.

Namun, jawatan Zuraida itu masih belum diputuskan Ismail Sabri yang menegaskan Ahli Parlimen Ampang itu masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Zuraida juga dilaporkan berharap dapat mengekalkan jawatannya itu dalam perjumpaan bersama Ismail Sabri yang dijadualkan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menuntut Zuraida menghormati kerusi menteri tersebut yang sepatutnya menjadi milik Bersatu.

"Zuraida boleh berharaplah, tetapi pokoknya Perdana Menteri yang akan buat keputusan.

"Beliau (Zuraida) juga harus hormati apa yang telah saya sebutkan tadi. Perdana Menteri nak lantik Zuraida jadi apa pun itu hak dia, tetapi kuota Bersatu beliau tak boleh ambil.

"Mana tahu beliau nak wujud kementerian baharu nak bagi kat Zuraida, itu hak beliaulah, saya tak nak campur," katanya.

Beliau berkata, Bersatu sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan tersebut dan hanya menunggu masa untuk disampaikan kepada Perdana Menteri.

"Kita cuma tuntut kuota. Saya mohon pertimbangan Perdana Menteri, segerakanlah. Saya dah minta nak jumpa dekat dua minggu," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!