MAFI ketengah cadangan subsidi minyak bot nelayan kelas C2

Ronald Kiandee (tiga dari kiri) menunjukkan salah satu produk hiliran daripada Bismi Empire Sdn Bhd di sini pada Selasa.
Ronald Kiandee (tiga dari kiri) menunjukkan salah satu produk hiliran daripada Bismi Empire Sdn Bhd di sini pada Selasa.
A
A
A
ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membawa cadangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berkaitan subsidi minyak bagi kegunaan bot nelayan kelas C2 untuk dibincang di peringkat kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian sedia maklum mengenai cadangan yang membabitkan kira-kira 500 pengusaha perikanan bot nelayan kelas C2 di negara ini.

Menurutnya, semua jenis bot nelayan menerima subsidi minyak sebelum ia diberhentikan bagi bot jenis C2 pada 2019.

"Keputusan itu menyebabkan hanya bot kelas A, B dan C yang masih menerima subsidi daripada kerajaan sehingga kini.

"MAFI akan mengemukakan cadangan itu untuk dibincangkan di peringkat kerajaan yang akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi," katanya ketika sidang media selepas lawatan ke ladang dan kilang Bismi Empire Sdn Bhd (Bismi) di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pengerusi Nekmat, Hamid Bahari meminta kerajaan menimbang semula pemberian subsidi minyak kepada bot nelayan kelas C2 kerana golongan itu adalah penyumbang terbesar tangkapan ikan dalam negara berbanding bot-bot kelas lebih kecil yang menerima keistimewaan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ronald Kiandee berkata, harga ikan di negara ini bergantung kepada situasi bekalan ikan yang diperoleh.

"Oleh sebab itu, bagi ikan ia tiada kawalan harga ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kalau bekalan ikan kurang, harga jualan akan naik dan sekiranya bekalan banyak harga akan turun tetapi MAFI sentiasa memastikan bekalan ikan mencukupi selain memantau harga ikan yang dijual di pasaran," katanya.