121,429 syarikat, individu saksi penipuan kerajaan terdahulu

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah 121,429 syarikat dan individu yang menjadi mangsa kegagalan kerajaan lama membuat bayaran balik RM19.4 bilion dalam tempoh masa dua minggu boleh menjadi saksi bahawa tuntutan tersebut adalah satu penipuan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga hari ini masih berdegil menafikan skandal kegagalan kerajaannya sebelum ini membuat bayaran balik GST itu seperti mana yang ditetapkan di bawah Perintah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

“121,429 syarikat dan individu yang menjadi mangsa boleh menjadi saksi menangkis fitnah jahat beliau (Najib) bahawa tuntutan RM19.4 bilion adalah satu penipuan.

“Kini beliau cuba menggunakan Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan bayaran balik GST bagi tempoh sehingga 5 Jun 2018 untuk menyatakan bahawa audit semakan masih belum siap dan hanya RM1.4 bilion sahaja yang diluluskan dan dihutang untuk bayaran balik GST,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kastam perjelas isu RM19.47 bilion]

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) telah mengesahkan semakan audit ke atas permohonan tuntutan pulang balik sebanyak RM19.47 bilion telah selesai dilaksanakan dan RM19.47 bilion telah diluluskan untuk dibuat bayaran pada akhir Julai 2018.

“Walau bagaimanapun, tiada dana yang cukup dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST untuk membayar tunggakan tuntutan pulang balik ini, kerana hanya ada RM148.6 juta atau pun kekurangan RM19.2 bilion.

“Perlu ditegaskan bahawa saya hanya bongkarkan skandal RM19.4 bilion yang tidak dibayar balik dalam dua minggu di dalam Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2018, bukannya pada 5 Jun 2018,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014), semua bayaran GST yang dikutip mesti dibayar terus kepada Tabung Amanah GST untuk membolehkan bayaran balik GST dibuat.

“Malangnya ini tidak dilakukan oleh kerajaan lama tetapi dibayar terus kepada Akaun Hasil Disatukan, yang menyalahi undang-undang GST.

“Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta pada 30 April 2018 dan jumlah tersebut tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST untuk membiayai bayaran balik GST yang tertunggak,” ujarnya.

Katanya, disebabkan itu, kerajaan terpaksa bergantung kepada sumbangan dividen khas Petronas untuk membuat bayaran balik GST yang tertunggak sebanyak RM19.4 bilion pada tahun 2019.

“Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam telah mengesahkan pihaknya telah menuntut kebanyakan wang bayaran balik tersebut melalui memo ke Jabatan Akauntan Negara dan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tabung Bayaran Balik GST yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar sejak 2015.

“Malangnya pembayaran balik tidak dapat dilakukan kerana cuma ada RM148.6 juta dalam Tabung Bayaran Balik GST yang sepatutnya berjumlah RM19.4 bilion, iaitu kekurangan RM19.2 bilion dalam akaun Tabung Bayaran Balik GST,” katanya.

Tambahnya, berkaitan dengan tuntutan bayaran balik tunggakan berjumlah RM0.9 billion, JKDM telah menyatakan bayaran balik adalah kepada dua syarikat milik kerajaan seperti dinyatakan dalam media.

“Tuntutan adalah berpunca daripada pelepasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan di bawah peruntukan Seksyen 56(3) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 bagi tuntutan cukai input yang telah dibayar oleh syarikat.

“Saya difahamkan sebanyak RM187.8 juta telah dibayar. Tidak ada sebarang kehilangan dana kerana kedua-dua syarikat adalah milikan 100 peratus Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.