Sila log masuk terlebih dahulu.

Dermasiswa B40 TVET kurangkan jurang sosial

Nor Hizwan Ahmad. - Foto Bernama
Nor Hizwan Ahmad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengenalan Program Dermasiswa B40 (TVET) untuk pelajar B40 melanjutkan pelajaran teknikal dan vokasional dilihat sebagai langkah ke depan dalam meningkatkan penyertaan golongan itu dalam bidang TVET.



Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad menyifatkan, langkah itu bukan sahaja dapat membantu golongan B40 memutuskan kitaran kemiskinan, malah ia juga dapat mengurangkan jurang antara golongan berada dan tidak berada dalam negara, seterusnya mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan berdaya saing.



Menurutnya, penyertaan golongan muda khususnya golongan B40 dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan, tetapi turut menyumbang secara bermakna kepada negara melalui kepakaran mereka.



“TVET hari ini tidak lagi dianggap sebagai landasan pendidikan kelas kedua. Banyak negara maju seperti Jepun dan Jerman, TVET menjadi pilihan utama untuk pelajar.



Artikel Berkaitan:

“Dalam landskap teknologi yang pesat membangun hari ini, mereka yang mempunyai latar belakang TVET pasti mempunyai kelebihan.



“Gelombang teknologi seperti IR4.0, kecerdasan buatan (artificial intelligence), data besar dan bioteknologi sedang pantas melanda seluruh dunia. Bagi menguasai kemahiran ini, seseorang itu perlu mempunyai asas teknikal dan vokasional yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.



Jelas Nor Hizwan, data pekerjaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga menunjukkan bahawa mereka yang terlatih dalam bidang ini sangat diperlukan oleh majikan.



Dalam hal ini katanya, PBM amat berbesar hati dan menyokong keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyambut 2 Jun sebagai Hari TVET Kebangsaan.



“Pengisytiharan ini menunjukkan komitmen serius kerajaan untuk memartabatkan TVET di negara ini, selaras dengan aspirasi negara kita.



“Orang ramai juga harus mengubah minda mereka tentang TVET sebagai landasan pendidikan kelas kedua. Mereka harus menggalakkan golongan muda untuk mengambil TVET kerana peluang besar yang boleh digunakan oleh graduan dalam bidang itu dan keupayaannya untuk membawa pembangunan pesat kepada negara,” ujarnya.