Penduduk bimbang kejadian tanah runtuh tidak jauh dari rumah

Muhammad Ahyad (dua dari kiri) melihat keadaan tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sri Raya 4, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada Selasa.
Muhammad Ahyad (dua dari kiri) melihat keadaan tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sri Raya 4, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seramai 400 penduduk daripada 80 buah rumah di Jalan Sri Raya 4, Taman Muzaffar Shah di sini hidup dalam kebimbangan selepas berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka baru-baru ini.

Kejadian runtuh yang berlaku ketika hujan lebat itu didakwa berpunca daripada kerja-kerja pembangunan sepanjang 500 meter bagi pembinaan sebanyak 71 buah rumah kedai tiga tingkat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd Arif Yusa, berkata, penduduk telah membuat bantahan sejak projek itu diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang projek itu berjalan, ia telah menimbulkan kegusaran penduduk dari segi struktur tanah kerana kediaman mereka terletak di tebing cerun bukit.

Katanya, penduduk turut mempertikaikan apabila kawasan yang sebelum ini dijadikan sebagai kawasan zon hijau ditukarkan kepada zon pembangunan.

"Lebih 10 aduan penduduk yang diterima oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras (Japerun) Ayer Keroh sejak beberapa bulan lalu, kerana mereka khuatir pembangunan itu akan menyebabkan banyak kerosakan dan keretakan di kediaman mereka.

"Kita juga telah memanjangkan perkara ini kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan kerajaan negeri dan berharap tindakan segera dapat diambil," katanya ketika ditemui pada lokasi tanah runtuh di Taman Muzaffar Shah di sini pada Selasa.

Projek pembangunan yang didakwa menjadi punca berlakunya kejadian tanah runtuh di Jalan Sri Raya 4, Taman Ayer Keroh Heights.
Projek pembangunan yang didakwa menjadi punca berlakunya kejadian tanah runtuh di Jalan Sri Raya 4, Taman Ayer Keroh Heights.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, Ismail Othman berkata, situasi itu juga menyebabkan penduduk hidup dalam kerisauan dan selagi tiada tindakan diambil tidak mustahil kejadian lebih buruk akan berlaku.

Malah katanya, tangki air yang terletak berhampiran tebing cerun turut menggusarkan penduduk sekiranya berlaku pergerakan tanah akan mengakibatkan tangki pecah sekali gus memberi kesan kepada mereka.

"Selain itu, kenderaan-kenderaan berat untuk projek berkenaan turut menggunakan jalan di hadapan rumah penduduk dan membahayakan keselamatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, pihaknya akan meminta maklumat lanjut berhubung isu ini daripada MPHTJ untuk dibentangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali agar tindakan proaktif dapat diambil.

Menurutnya, MPHTJ serta beberapa agensi terbabit juga akan memperhalusi serta memuktamadkan kaedah penyelesaian bagi kejadian tanah runtuh itu.

"Hasil perbincangan bersama perunding pemaju di lokasi runtuhan, kita telah meminta mereka segera membaik pulih cerun dan longkang pecah selain langkah-langkah keselamatan yang perlu dipertingkatkan.

Jadi kita akan menunggu laporan teknikal pihak berkenaan agar masalah yang menghantui penduduk dapat diselesaikan segara dan tidak berlarutan," katanya.