MBK kompaun enam pengusaha aktiviti ATV tiada permit

Pegawai penguat kuasa MBK melakukan pemeriksaan ke atas ativiti ATV yang beroperasi sekitar Pantai Balok dan Batu Hitam di Kuantan pada Ahad. - Foto: MBK
Pegawai penguat kuasa MBK melakukan pemeriksaan ke atas ativiti ATV yang beroperasi sekitar Pantai Balok dan Batu Hitam di Kuantan pada Ahad. - Foto: MBK
A
A
A

KUANTAN - Enam pengusaha aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) di sekitar Pantai Balok dan Batu Hitam di sini dikenakan tindakan kerana beroperasi tanpa permit.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal, berkata sebanyak 12 notis dan empat kompaun berjumlah RM8,000 dikeluarkan atas kesalahan itu.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu diambil hasil pemeriksaan pihaknya ke atas aktiviti tersebut di kawasan pantai berkenaan Ahad lalu susulan aduan orang ramai dan beberapa video yang tular tentang aktiviti itu yang didakwa membahayakan pengunjung lain.

"Hasil pemeriksaan mendapati pengusaha ini ada memohon permohonan permit namun gagal mematuhi syarat ditetapkan.

"Apabila tidak ikut syarat, permit tidak dikeluarkan namun mereka tetap meneruskan operasi," katanya.

Norkamawati berkata, pengusaha ATV sepatutnya memohon permit terlebih dahulu dan mematuhi syarat ditetapkan sebelum memulakan operasi.

"Antara syarat yang dikenakan kepada pengusaha sebelum aktiviti ini dipertimbangkan kelulusan permit termasuk perlu mempunyai perlindungan insurans liabiliti dan insurans kemalangan.

"Selain itu mereka dikehendaki menyediakan dan menanda sama ada menggunakan kon atau bendera had sempadan serta laluan yang dibenarkan untuk pelanggan ATV," katanya.

Pengusaha ATV perlu memiliki premit dan mematuhi syarat ditetapkan sebelum memulakan operasi di Kuantan. - Foto: MBK
Pengusaha ATV perlu memiliki premit dan mematuhi syarat ditetapkan sebelum memulakan operasi di Kuantan. - Foto: MBK

Beliau berkata, setiap aktiviti ATV yang dijalankan, pengusaha juga dikehendaki menyediakan petugas atau ‘marshall’ bagi memantau pergerakan kenderaan itu yang disewakan.

"Setiap kenderaan ATV milik pengusaha atau pemegang permit perlu ditandakan dengan penanda khas.

"Kita juga mensyaratkan supaya pengusaha menyelenggara dan memeriksa ATV setiap hari sebelum memulakan operasi," katanya.

Tambah beliau, paling penting, setiap pengusaha perlu memastikan aktiviti yang dijalankan itu tidak menimbulkan kacau ganggu serta mengutamakan keselamatan pengunjung dan orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut.

"Kita dapati, ada pengusaha membenarkan penyewa berusia bawah 16 tahun menggunakan kenderaan itu tanpa pengawasan sedangkan mengikut syaratnya mereka perlu diawasi orang dewasa atau penjaga.

"Situasi ini bukan sahaja membahayakan penunggang malah boleh mendatangkan risiko terhadap keselamatan pengunjung pantai yang lain," katanya.

Beliau berkata, setiap pengusaha sepatutnya lebih peka kerana sebarang permasalahan atau isu yang timbul dalam aktiviti penyewaan ATV itu adalah di bawah tanggungjawab mereka.

Sementara itu, katanya, pemeriksaan akan terus dilakukan terhadap aktiviti itu di pantai-pantai lain di daerah ini.

"Kita ingin pastikan pengusaha aktiviti ATV ini mempunyai permit untuk beroperasi selain mematuhi syarat ditetapkan atas faktor keselamatan," katanya.