Banyak perlu dilakukan untuk pendidikan anak pelarian di Malaysia

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masih banyak lagi perkara perlu dilakukan bagi membantu pendidikan anak-anak pelarian di Malaysia, termasuk memberi pengiktirafan bagi mereka yang berjaya memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu agar dapat melanjutkan pelajaran, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menteri itu berkata, walaupun Malaysia telah memudahcara Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam mengatur dan menjalankan sesi persekolahan untuk kanak-kanak terbabit melalui Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC), terdapat keperluan untuk menambah baik pengurusan pendidikan bagi golongan itu.

"Sebagai contoh, sejauh mana kita boleh bantu daripada segi latihan perguruan dan pengiktirafan bagi pelajar-pelajar yang berjaya memperoleh tahap pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran.

"Ia adalah mengenai bagaimana kita dapat laksanakan sesuatu dengan lebih baik...kita mungkin perlu membuat pembentangan secara lebih tersusun di Kabinet untuk menyelesaikan perkara ini, Wisma Putra sentiasa bersedia mengetuai penyediaan kertas kerja itu.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat peringkat tinggi mengenai pendidikan pelarian dalam konteks komitmen Malaysia terhadap pendidikan inklusif dan merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini sempena Hari Pelarian Sedunia 2022, pada Isnin.

Beliau berkata, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu kanak-kanak pelarian dan adalah wajar serta berperikemanusiaan untuk memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan, katanya sambil menambah hanya kira-kira 30 peratus kanak-kanak pelarian menerima pendidikan di ALC.

Menteri itu menegaskan, menjadi dasar kerajaan tidak membenarkan anak pelarian belajar di sekolah awam, sebaliknya kerajaan memudahcara CSO dalam menguruskan persekolahan untuk anak pelarian melalui ALC.

Saifuddin berkata, meskipun Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, kerajaan telah menyalurkan bantuan dan perlindungan kepada pelarian atas dasar kemanusiaan termasuk dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Saifuddin dalam ciapan di Twitternya berkongsi pandangan, Malaysia perlu meneruskan usaha agar pelarian mendapat pendidikan demi kepentingan nasional negara bagi memastikan mereka boleh pulang, ditempatkan semula dengan berjaya dan menyumbang kepada masyarakat. - Bernama