Pesara rugi RM625,500, sedar ditipu selepas 22 transaksi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pesara kerugian RM625,500 selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata lelaki berusia 68 tahun itu membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Nusa Bestari pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa sebagai anggota polis dan menyatakan mangsa terlibat dengan pengambilan ubat terlarang dan pengubahan wang haram.

"Suspek juga telah meyakinkan mangsa bahawa akaun bank miliknya akan diaudit dan disiasat.

"Mangsa diarahkan untuk memindahkan semua wang di dalam akaunnya ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek kononnya bagi tujuan keselamatan.

"Suspek juga memberitahu terdapat perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan mangsa memberi kerjasama kepada polis. Tanpa usul periksa mangsa telah membuat 22 transaksi bermula 11 Mei sehingga 5 Jun lalu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Amran, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada anaknya dan kemudian bertindak membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan melalui telefon.

"Sentiasa gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan JSJK sebelum membuat sebarang pembayaran kerana terdapat kemungkinan seseorang menjadi mangsa penipuan dapat dielakkan dan jumlah kerugian boleh diminimumkan," katanya.