Trio Malaysia raih emas Kejohanan Memanah Piala Asia

Fatin Nurfatehah - Foto Bernama
Fatin Nurfatehah - Foto Bernama
A
A
A

TRIO memanah wanita negara mempamerkan aksi cemerlang selepas meraih pingat emas dalam acara compound berpasukan pada pusingan pertama Piala Asia di Bangkok, Thailand, hari ini.

Gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nur Aina Yasmine Halim dan Nurul Syazhera Mohd Asmi mencatat kemenangan tipis 230-226 mata kepada trio India iaitu Priya Gurjar, Muskan Kirar dan Sanchita Tiwari pada aksi final di Lapang Sasar Memanah Hua Mark, Bangkok, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Memanah Asia; ww.asianarchery.com.

Pingat gangsa dimenangi trio Kazakhstan yang menewaskan trio Bangladesh menerusi keputusan 229-220 mata pada aksi penentuan pingat gangsa.

Fatin, bagaimanapun, gagal meneruskan kecemerlangan setelah tewas dengan keputusan 142-147 mata kepada Muskan Kirar pada aksi final compound individu.

Pemanah Singapura, Contessa Loh Tze Chieh yang tewas kepada Fatin pada aksi separuh akhir, semalam, meraih pingat gangsa setelah mengatasi wakil Iran, Halimianavval Seyedeh-Vida dengan kiraan 145-140 mata.

Fatin yang bergandingan dengan Syahrizan Jafar dalam acara compound campuran, sekadar menduduki tempat keempat setelah mereka tewas 149-151 kepada pasangan India, Muskan Kirar dan Siddhant Gupta pada aksi penentuan pingat gangsa.

Gandingan Iran, Seyedeh-Vida Halimianavval dan Mohammadsaleh Palizban meraih pingat emas setelah mengetepikan cabaran pasangan Indonesia, Sri Ranti dan Prima Wisnu Wardhana dengan keputusan 156 berbalas 154 mata pada aksi final.

Dalam pada itu, trio compound lelaki negara yang dibarisi Syahrizan Jafar, Mohd Hakhiki Mohd Kamro dan M Khambeswaran menamatkan saingan di tempat keempat setelah tewas tipis 231-230 kepada trio Kazakhstan iaitu pasangan adik beradik, Rastam dan Akbarali Karabayev serta Sergey Khristich pada aksi penentuan pingat gangsa.

Artikel Berkaitan:

Emas dimenangi trio India yang menewaskan trio Iran menerusi keputusan 233 berbalas 230 mata.

Untuk rekod, tiada wakil negara yang berjaya mara ke aksi penentuan pingat acara compound individu lelaki setelah terkandas pada aksi suku akhir, semalam. - Bernama