Korea Utara mungkir janji?

Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) turut mengesan aktiviti di tapak pelancaran roket Sohae itu pada awal bulan lalu.
A
A

SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Utara didakwa hampir selesai membina semula tapak pelancaran roket jarak jauh yang mungkin menunjukkan pembalikan dalam dasar Pyongyang yang sebelum ini bersetuju untuk menutup kemudahan Sohae tersebut.

Pendedahan itu dibuat Seoul selepas mesyuarat tertutup bersama pegawai risikan Korea Selatan kira-kira sebulan selepas sidang kemuncak kedua antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Hanoi yang berakhir tanpa sebarang perjanjian pada Februari lalu.

Ahli Parlimen, Kim Min-ki berkata, beberapa imej satelit menunjukkan peningkatan aktiviti di tapak pelancaran roket itu yang mencetuskan kebimbangan Pyonyang mungkin sedang melakukan persediaan untuk melancarkan roket jarak jauh atau pelancaran ke angkasa lepas.

"Ada kegiatan pembinaan semula di tapak Sohae itu yang sebahagiannya telah dirobohkan pada Julai lalu. Beberapa aktiviti penyelenggaraan turut dijalankan," ujarnya.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) telah melarang Pyongyang daripada melakukan pelancaran ke angkasa lepas berikutan sebahagian daripada teknologi mereka digunakan untuk misil balistik antara benua (ICBM). - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia