UBES bakal beri manfaat 120 usahawan belia Terengganu

Mohd Nurkhuzaini (duduk, tengah) bersama 40 graduan UBES 3.0 yang menamatkan kursus mereka pada Ahad.
Mohd Nurkhuzaini (duduk, tengah) bersama 40 graduan UBES 3.0 yang menamatkan kursus mereka pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bakal memberi manfaat kepada 120 usahawan belia di Terengganu pada tahun ini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, UBES akan dilaksanakan sebanyak tiga siri dengan penyertaan 40 usahawan belia pada setiap siri.

“Siri pertama tahun ini telah selesai dijalankan di Kelantan dan kita rancang akan ada dua siri lagi sepanjang 2022 bagi membantu anak muda membangunkan perniagaan sendiri,” katanya di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu hadir merasmikan Majlis Penutup UBES 3.0 yang berlangsung di Tok Aman Bali Beach Resort, Kelantan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda.

UBES 3.0 yang berlangsung selama lima hari berjaya menghimpunkan 40 usahawan belia Terengganu dalam pelbagai sektor untuk didedahkan dengan ilmu-ilmu keusahawanan.

Sementara itu seorang peserta, Nurul Fatin Aqilah Rahim, 25, berkata, banyak input berguna diperolehnya untuk dipraktikkan dalam perniagaan telur itik yang diusahakannya sepanjang mengikuti program UBES.

"Melalui kursus ini, saya dapat strategi balik perniagaan yang akan saya jalankan dengan skala dan bentuk baharu.

"Saya juga berharap agar program UBES dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu belia Terengganu untuk meningkatkan perniagaan mereka," katanya.

Safwan Sahrin, 25, yang menjalankan perniagaan dalam fisioterapi pula berkata, pelbagai ilmu perniagaan baharu dapat dipelajari selepas menjadi peserta UBES.

"Jika sebelum ini saya menjalankan perniagaan tanpa ilmu yang cukup, contohnya mengenai margin dalam perniagaan sedangkan banyak yang perlu dipelajari.

"Jadi melalui kursus ini, banyak yang saya pelajari dari segi perancangan dalam masa panjang dan cara-cara untuk menguruskan kewangan syarikat," katanya.

UBES merupakan satu inisiatif Terengganu untuk membantu warga muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta menceburi dunia keusahawanan.

Antara keistimewaan program ini adalah penyediaan latihan dan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang berkaitan, Geran Peralatan sehingga RM5,000 serta Geran Pembangunan Perniagaan sehingga RM2,000 di samping pemantauan perniagaan.