Kedah perkenal dua varieti durian baharu J Sparrow, Jerai

Dari kiri Ramli, Azman dan Seng Khoon menunjukkan durian jenis D216 J Sparrow dan D217 Jerai.
Dari kiri Ramli, Azman dan Seng Khoon menunjukkan durian jenis D216 J Sparrow dan D217 Jerai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Kedah memperkenalkan dua varieti baharu durian yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dikomersialkan sebagai D216 J Sparrow dan D217 Jerai.

Exco Pertanian Kedah, Datuk Azman Nasrudin berkata, kedua-dua varieti tersebut telahpun didaftarkan secara khusus pada 2021 dengan usaha sama Jabatan Pertanian Kedah.

"Hari ni Kedah menawarkan varieti baharu iaitu D216 J Sparrow dan D217 Jerai di mana saya yakin rasa, bentuk, rupa dan keistimewaannya yang tersendiri bakal mendapat permintaan tinggi dari penggemar durian di negara ini.

"Kita harapkan dengan adanya varieti hasil produk keluaran baharu ini menjadi kebanggaan Kedah kerana keunikan dan rasa tersendiri adalah setaraf buah berjenama lain," katanya ketika melancarkan dua vareiti terbabit di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Pertanian Kedah, Ramli Abdul Rahman.

Menurut Azman, kedua-dua varieti durian berkenaan ditanam menerusi projek kluster durian di Ladang Lot 5160 Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong, Kedah milik pengusaha Teoh Seng Khoon.

Perbandingan durian D216 J Sparrow (kiri) dan D217 Jerai yang dihasilkan di Ladang Lot 5160, Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong, Kedah.
Perbandingan durian D216 J Sparrow (kiri) dan D217 Jerai yang dihasilkan di Ladang Lot 5160, Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong, Kedah.



"Ciri-ciri buah durian varieti D216 J Sparrow berbentuk 'obavat' sangat tidak simetri, warna kulit perang hijau gelap, warna isi utama ialah perang kuning muda, mempunyai aroma sederhana, rasa kepahitan sederhana, purata kemanisan 35.3 peratus Brix dan rasa berkrim pada tahap lemah.

"Bagi jenama D217 Jerai berbentuk elips dan bersimetri, warna kulit perang hijau gelap, warna isi utama ialah kuning muda, mempunyai aroma yang kuat, purata kemanisan 35 peratus Brix, rasa kepahitan sederhana dan tekstur berkrim pada tahap kuat," katanya.

Isi durian jenis D217 Jerai berwarna kuning muda.
Isi durian jenis D217 Jerai berwarna kuning muda.

Sementara itu, Seng Khoon berkata, tanaman durian di lot berkenaan telahpun diusahakan oleh keluarga sejak kira-kira 50 tahun lalu dan kini memasuki generasi ketiga sebelum bapa dan datuknya.

"Dengan bantuan Jabatan Pertanian, dua varieti baharu ini dapat didaftarkan dan diharap menjadi ikon Kedah di mana salah satunya iaitu D217 dinamakan Jerai berikutan lokasi ladang ini berada di kaki Gunung Jerai yang mempunyai sejarah tersendiri," katanya.

Beliau berhasrat memperbesarkan tanaman kedua-dua varieti terbabit dengan menghasilkan lebih banyak anak benih dengan sasaran meluaskan penanaman pada masa akan datang.

"Buat masa ini, di ladang ini, kita mempunyai tujuh batang pokok jenis J Sparrow dan 10 batang jenis Jerai yang mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk matang dan menghasilkan buah.

"Bagi mana-mana peminat raja buah yang ingin mengenali durian jenama J Sparrow dan Jerai dengan lebih dekat, boleh datang ke Lot 5160 Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang untuk merasai keenakan dan kelazatannya yang saya yakin mampu menambah hati penggemarnya," katanya.