Bau busuk, rupanya jiran meninggal dunia

Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Lubok Panjang, pada Isnin.
Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Lubok Panjang, pada Isnin.
A
A
A

DUNGUN - Bau busuk sejak beberapa hari lalu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah berhampiran kedai makan milik seorang penduduk di Kampung Lubok Panjang, Bukit Besi, pada Isnin.

Mayat lelaki berusia 52 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah tersebut kira-kira jam 8.10 pagi oleh pemilik kedai makan berkenaan, Mohd Rozlan Deraman, 55.

"Saya terhidu bau busuk namun pada awalnya tidak pasti arah datangnya bau busuk tersebut.

"Setelah mengamati, saya percaya bau busuk itu datangnya dari sebuah rumah berhampiran kedai makan saya sebelum saya mengajak seorang pelanggan untuk pergi ke rumah berkenaan," katanya kepada pemberita, pada Isnin.

Mohd Rozlan berkata, sewaktu tiba di rumah berkenaan mereka mendapati pintu tidak berkunci dan terdapat air paip mengalir keluar dari rumah sebelum ternampak mayat mangsa melalui tingkap yang tidak ditutup.

"Sudah beberapa hari saya tidak nampak kelibat arwah. Kali terakhir saya melihat dia ketika berada di rumahnya pada pagi Jumaat lalu.

"Sebelum ini jika motosikalnya tiada, bermakna dia tidak ada di rumah. Tetapi motosikal arwah rosak dan dihantar ke rumah saudaranya.

"Saya pula ada terbau benda busuk sejak dua hari lalu namun tidak terfikir pula jiran saya sendiri yang meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa yang tinggal bersendirian difahamkan merupakan seorang buruh kontrak di sebuah kilang kayu di Bukit Besi dan tidak berkahwin.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.