MITI ambil langkah tangani ketidakpatuhan syarat AP

Dr Ong Kian Ming
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan penyemakan profil 36 syarikat yang telah diberikan kelulusan di bawah Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka bagi memastikan syarat-syarat dasar tersebut masih dipatuhi.

Timbalan Menterinya, Dr Ong Kian Ming berkata terdapat aduan diterima bahawa sebilangan syarikat baharu itu tidak mematuhi syarat-syarat sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baharu yang ditetapkan MITI.

"Beberapa aduan dan laporan telah diterima oleh MITI bahawa terdapat syarikat-syarikat baharu ini yang tidak mematuhi syarat-syarat tersebut seperti tidak mempunyai keupayaan kewangan dan tiada pengalaman dalam penjualan dan pengedaran kenderaaan.

"Di samping itu, terdapat juga aduan syarikat-syarikat ini telah mempunyai perancangan untuk menjual AP yang diperuntukkan kepada pihak ketiga," kata Ong dalam kenyataan hari ini.

Dokumen, maklumat, lesen berkaitan dan penyata kewangan bagi 2015 sehingga 2018 perlu dikemukakan kepada MITI dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat itu dikeluarkan kementerian itu.

"Kegagalan syarikat untuk memberi kerjasama dan mengemukakan dokumen tersebut dalam tempoh yang ditetapkan boleh menjejaskan sebarang permohonan AP oleh syarikat-syarikat ini pada masa hadapan.

"Siasatan juga akan dilaksanakan melalui audit berperingkat ke atas syarikat sedia ada bagi memastikan syarat-syarat sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baharu telah dipatuhi," kata Ong.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia