Sila log masuk terlebih dahulu.

Keluarga pengasas kosmetik Dnars lapor SPRM

Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat olehnya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ludang, Kota Bharu pada Ahad. Gambar kanan: Faziani Rohban Ahmad
Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, (tengah) menunjukkan laporan yang dibuat olehnya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ludang, Kota Bharu pada Ahad. Gambar kanan: Faziani Rohban Ahmad
A
A
A

KOTA BHARU - Keluarga pengasas kosmetik Dnars Skincare, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan kerana mendakwa urusan membawa pulang jenazah usahawan kosmetik itu ke negara ini tidak mengikut tatacara yang sah.

Laporan dibuat oleh abang sulung Allahyarham, Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, menerusi Tetuan Shaharuddin Hidayu dan Marwaliz di Pejabat SPRM di Lundang di sini pada jam 3 petang, Ahad.

Peguam bela dan peguam cara, Leftenan Kolonel Bersekutu Azhar Ahmad berkata, keluarga memohon satu penyiasatan dilakukan oleh SPRM kerana mendakwa urusan penghantaran jenazah tersebut tidak melalui Kedutaan Malaysia di Bangkok atau Konsul Malaysia di Songhkla yang disahkan oleh seorang pegawai di Wisma Putra, Putrajaya.

“Jenazah Faziani tiba terlalu cepat ke Malaysia melalui pintu sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang pada jam 4 petang hari sama kemalangan pada 18 Mei 2019.

“Urusan penghantaran jenazah arwah didakwa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang iaitu dipercayai tidak mempunyai Surat Kebenaran dari Perwakilan Malaysia di negara yang berlaku kematian,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat SPRM di Lundang di sini pada Ahad.

Menurutnya, tempoh jenazah arwah yang dibawa pulang tersebut sangat cepat berbanding beberapa hari yang diperlukan pada kebiasaan kerana perlu melalui beberapa prosedur di Thailand.

Sementara itu, Mohd Faisal berkata, laporan tersebut dibuat bagi mendapatkan keadilan terhadap kematian Allahyarham.

“Keluarga sememangnya bersyukur apabila jenazah dapat dibawa pulang awal, namun kami mengesyaki berlaku salah guna kuasa atau unsur rasuah dalam urusan penghantarannya.

Artikel Berkaitan:

“Laporan baru dibuat sekarang kerana kekangan keadaan Covid-19 dalam negara dan kami keluarga memohon pihak berkuasa menyiasat perkara ini,” katanya.

Dalam kejadian tragis yang lalu, usahawan kosmetik, Faziani Rohban Ahmad, 40, meninggal dunia manakala suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 45, pula cedera apabila kenderaan Toyota Estima dinaiki mereka terlibat kemalangan di Pattani, Thailand pada jam 10.30 pagi.

Pada Khamis lalu, keluarga tersebut juga membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham yang mendakwa dicurigai.