Aktiviti korek pasir diarah henti serta-merta

Kapal korek pasir sedang menjalankan kerja pengorekan di Pengkalan Weld.
Kapal korek pasir sedang menjalankan kerja pengorekan di Pengkalan Weld.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerja korek pasir di Pengkalan Weld di sini diarah diberhentikan serta-merta setelah didapati tidak mempunyai permit atau kebenaran dari pihak berkuasa.

Arahan itu dikeluarkan setelah Pasukan Polis Marin; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dan Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang melakukan siasatan di tapak kerja mengorek pasir tersebut petang tadi.

Jurucakap Pasukan Polis Marin berkata, difahamkan aktiviti korek pasir itu adalah projek di bawah anak syarikat Kerajaan Pulau Pinang iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Menurutnya, kerja korek itu dijalankan bagi menanam paip namun tiada permit atau kelulusan dari pihak berkuasa atau kerajaan negeri.

"Ketika meninjau lokasi itu petang ini, kita dimaklumkan ia merupakan projek PBAPP, namun mereka mengakui tidak mempunyai permit untuk melakukan kerja-kerja korek pasir tersebut.

"Sehubungan itu, kita mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir tersebut dihentikan segera sehingga permit atau kelulusan diberikan," katanya ketika dihubungi tadi.

Kerja korek diarahkan berhenti serta-merta kerana tiada permit.
Kerja korek diarahkan berhenti serta-merta kerana tiada permit.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh ketika dihubungi mengesahkan projek itu merupakan projek PBAPP namun tiada ulasan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, PBAPP akan mengadakan sidang media berhubung perkara tersebut Isnin berikutan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa tidak berada di Pulau Pinang pada ketika ini.

Semalam, Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa menyiasat tentang aktiviti pengorekan pasir itu kerana menjejaskan pendapatan lebih 900 nelayan yang menangkap ikan di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut mereka, hasil tangkapan mereka merudum sehingga 80 peratus kerana kawasan berkenaan dipenuhi selut akibat aktiviti pengorekan pasir yang dijalankan sejak dua bulan lalu.

Mereka turut mendakwa telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan sehingga kini.