Pas tolak idea ‘khemah besar’, fokus agenda penyatuan ummah

Datuk Mohd Amar Abdullah
Datuk Mohd Amar Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menegaskan bahawa parti itu menolak idea ‘khemah besar’ dan akan memfokuskan kepada agenda penyatuan ummah.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, prinsip Pas dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.

“Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Pas tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Mohd Amar, prinsip Pas sebagaimana termaktub dalam Perlembagaannya juga jelas bahawa Islam yang paling utama.

Disebabkan itu katanya, bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) ketika 2018 hingga 2019 lalu, Pas menggerakkan usaha muafakat ummah.

“Dengan parti Melayu seperti UMNO dan NGO-NGO sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.

“Namun pada masa yang sama, Pas menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh di saat kedudukan beliau diganggu gugat.

“Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang Pas,” ujarnya.

Mohd Amar yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, parti itu dengan segenap kemampuan yang ada menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran ini.

“Terkini, Pas meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

“Rakyat Malaysia pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara bawah pentadbiran PH yang telah menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara Malaysia serta prinsip asas tunjang negara,” tegasnya.