India hormat tatacara ASEAN: Saifuddin

Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) pada mesyuarat Menteri Luar ASEAN-India di New Delhi pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah (dua dari kiri) pada mesyuarat Menteri Luar ASEAN-India di New Delhi pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

NEW DELHI - India menghormati tatacara ASEAN melaksanakan sesuatu perkara, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sambil menekankan hubungan antara negara Asia Selatan itu dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) juga semakin berkembang.

"Perdagangan dan teknologi adalah tonggak utama kerjasama serantau tetapi kedua-dua pihak juga boleh bekerjasama dalam isu global," kata Saifuddin dalam temu bual eksklusif ketika lawatannya ke New Delhi pada 15 hingga 17 Jun.

"Hubungan ASEAN-India membabitkan kerjasama serantau dalam sektor perdagangan. Tetapi ia juga mengenai perkongsian yang boleh memberi manfaat di peringkat antarabangsa," kata menteri itu dalam ucapannya.

Beliau berkata, Malaysia dan 10 negara anggota blok Asia Tenggara percaya kepada keamanan dunia yang lebih mampan berdasarkan rangka kerja multipolar dan bukan bipolar, susulan itu jalinan kerjasama dengan India adalah penting dalam isu ini.

"India boleh memainkan peranan sebagai kuasa pertengahan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Di Asia, Saifuddin berkata, India menjana kuasa ekonomi sendiri serta memainkan peranan penting dalam perdagangan barangan dan perkhidmatan.

"Malaysia, sebagai negara penyelaras mengenai Hubungan Ekonomi ASEAN-India termasuk membabitkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India, sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan menambah baik proses perdagangan," katanya.

Saifuddin merujuk kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), yang ditandatangani pada Ogos 2009 dan berkuat kuasa pada Januari 2010, tetapi kedua-dua pihak sedang membincangkan mengenai kajian semula untuk menjadikan pakatan itu lebih relevan dengan perdagangan global semasa.

Menteri Malaysia itu turut mengagumi kejayaan India dalam sektor ekonomi digital, terutamanya keupayaan memupuk keusahawanan melalui pemodal teroka.

"Itu satu model yang mungkin kita boleh contohi di rantau ASEAN dan Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai keserasian India dengan institusi ASEAN dalam mempromosikan kerjasama serantau, Saifuddin berkata, India "menghormati dan mengiktiraf konsep pemusatan ASEAN" dan mekanisme yang diterajui persatuan itu.

"Setakat ini, India tidak menyatakan apa-apa yang bertentangan dengan cara ASEAN melakukan sesuatu,” katanya.

Berhubung tindakan India meneruskan projek pengangkutan dan ketersambungan lain dengan negara ASEAN secara individu, Saifuddin berkata, secara amnya, negara anggota ASEAN mengalu-alukan projek ketersambungan serantau kerana ASEAN perlu melihatnya secara lebih praktikal.

Malaysia juga telah melaksanakan projek dengan negara jirannya, termasuk Thailand, Indonesia dan Filipina, kata Saifuddin. - Bernama