'Saya andartu, ada masalahkah?'

60
60
A
A
A

BUKAN satu dosa besar pun jika diri masih belum bertemu jodoh. Kalau sudah mengelilingi satu dunia sekalipun, jika tidak berjumpa dengan yang secocok, apa yang boleh dikatakan?

Namun, kepada sesetengah masyarakat yang bermulut jahat, ia bagaikan satu kesalahan besar. Dara terlajak, andartu, anak dara tidak laku, anak dara lanjut usia (andalusia), apa lagi jolokan kejam yang dilabelkan?

Sedarkah anda, gelaran itu bagaikan satu toksik kepada mereka. Pernyataan klise yang sering didengar bahawa seorang wanita berusia yang masih belum berkahwin cerewet dan kuat meroyan merupakan satu-satunya pernyataan yang langsung tidak boleh terima. Terlalu kejam!

Namun kepada seorang wanita, Yusrina Abdul yang berusia 46 tahun, beliau tidak kisah apapun persepsi masyarakat. Benar. Saya terlalu memilih. Kenapa? Ini semua disebabkan saya pernah kecewa dengan seorang lelaki Melayu sebelum ini.

Yusrina mengambil masa untuk bercerita. Secara perlahan-lahan beliau membuka mulut.

"Puluh tahun lalu, saya berkenalan dengan seorang lelaki dari Selatan Tanah Air ketika mengikuti latihan praktikal ketika belajar di sebuah universiti.

"Ketika itu saya masih mentah dan itu merupakan cinta pertama saya. Pada mulanya, saya menyangkakan lelaki itu bujang. Bayangkan selepas beberapa tahun melalui alam percintaan, saya akhirnya dapat tahu lelaki itu suami orang," katanya menahan perasaan sedih.

Hubungan kami mula retak, dia seakan-akan mahu menegakkan 'benang basah' dan tetap mahu mengahwininya. Hati wanita mana mampu mahu melukakan hati kaum sejenis demi seorang lelaki yang menipu dan menyembunyikan kisah sebenar!

Artikel Berkaitan:

Yusrina memberitahu dia benar-benar terluka kerana sudah mencurahkan sepenuh kasih dan sayang kepada lelaki itu sehinggakan ke tahap mahu berkahwin. Bermula saat itu, pintu hatinya tertutup buat lelaki Melayu.

Ujar wanita itu secara terbuka, beliau kini lebih berminat dengan lelaki Inggeris atau mat saleh untuk berdamping dengannya.

"Yang saya tahu, mereka ini selalunya lebih serius dan jujur dalam perhubungan," katanya yang berdoa agar segera dipertemukan jodoh dengan lelaki idamannya.

Kena kecam

Kepada Famili Femina Yusrina memberitahu, rupa-rupanya impiannya yang mahu disatukan dengan jejaka Inggeris mendapat kecaman hebat daripada rakan-rakannya.

"Tapi, ada saya kisah? Itu minat saya, orang lain tak akan faham dengan apa yang saya lalui. Hati saya hancur dan remuk!

"Saya enggan lagi menerima lamaran lelaki tempatan. Cukuplah, saya betul-betul kecewa hingga saat ini, saya rasakan diri saya ini betul-betul dikhianati," katanya.

Penulis bertanya, usia sudah menjengah 40-an, tidak rasa malukah dilabel dengan bermacam-macam gelaran.

"Saya tidak bimbang dilabel andartu atau apa pun. Selagi saya tidak berjumpa pilihan hati, saya tetap begini.

"Mula-mula dulu memang saya rasa tertekan namun sekarang saya boleh terima. Apa nak malu belum jodoh saya. Saya percaya dengan qada dan qadar ALLAH," jawabnya selamba.