X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Sukan Komanwel: Bonnie di landasan tepat rangkul emas

Bonnie memenangi pingat emas Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan. - Foto FB MSN
A
A

JAGUH powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin berada dalam landasan tepat untuk merangkul emas pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, bermula dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Keyakinan itu dinyatakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin selepas Bonnie sekali lagi mengharumkan nama negara dengan menjuarai Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022 di Pyeongtek, Korea Selatan, pada Jumaat

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu berjaya meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 213kg pada percubaan ketiga dalam kejohanan berkenaan.

"Saya tengok sebelum Bonnie berlepas (ke Korea Selatan), dia sangat optimistik. Dia memang antara yang menjadi harapan, ada pingat itu pasti,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MPM ke-24, pada Sabtu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini meletakkan sasaran tujuh emas untuk dibawa pulang kontinjen negara di Birmingham nanti.

Sukan powerlifting serta empat lagi sukan iaitu angkat berat, skuasy, boling padang, dan gimrama disasarkan meraih satu pingat emas manakala badminton disandarkan harapan membutirkan dua emas.

Selain Bonnie, seorang lagi atlet powerlifting, Jong Yee Khie dijangka menyertai Sukan Komanwel kali ini.

Mengenai status terkini Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo, Indonesia, bulan depan, Megat Shahriman berkata, penganjuran temasya itu akan tetap diteruskan biarpun dikhabarkan tuan rumah belum bersedia sepenuhnya.

"Setakat ini, kami mendapati venue renang telah ditukar ke Semarang yang mengambil masa satu jam 30 minit dari Solo, manakala pergerakan atlet ke semua venue juga belum jelas lagi.

"Keutamaan kami ketika ini juga untuk mengetahui sama ada tandas bagi atlet para ini cukup atau tidak di sana” katanya.

Beliau pada masa memaklumkan dijemput penganjur ke Solo bersama wakil Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meninjau persiapan tuan rumah menjelang APG pada 29 Jun ini.

Pemilihan bandar raya di Jawa Tengah itu bagi menganjurkan APG, dijadualkan pada 30 Julai hingga 6 Ogos ini diluluskan oleh Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) bagi menggantikan Hanoi, Vietnam, yang menarik diri daripada tugas penganjuran ekoran pandemik Covid-19. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!