Sila log masuk terlebih dahulu.

PRU15: Gerakan hasrat tanding 35 Parlimen, 62 DUN

Dominic Lau Hoe Chai
Dominic Lau Hoe Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat bertanding 35 kerusi Parlimen dan 62 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, senarai nama (calon) diterima daripada pengerusi-pengerusi perhubungan parti itu di peringkat negeri.

"Saya telah mengarahkan pengerusi-pengerusi negeri untuk mengadakan mesyuarat secepat mungkin dengan pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri masing-masing.

"Ini supaya mencapai kata sepakat dan keputusan yang memberi kebaikan kepada PN pada PRU15," katanya selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat di sini, pada Sabtu.

Tambah Dominic, parti Gerakan bagaimanapun akan memberi fokus kepada calon yang berkualiti.

"Gerakan hanya akan bertanding kerusi yang menjadi sasaran atau mempunyai peluang tinggi (menang)," katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan siapa harus dipertanggungjawabkan apabila Malaysia berada pada kedudukan ke-32 dalam Ranking Daya Saing (WCR) Institusi Antarabangsa.

"Negara lain berlumba-lumba untuk mencapai pertumbuhan ekonomi lebih ketara namun Malaysia sibuk untuk mengadakan Pilihan Raya Umum.

Artikel Berkaitan:

"Semua negara mengalami krisis ekonomi dan kesihatan tetapi Malaysia turut terjejas dengan krisis politik yang menyaksikan perebutan kerajaan dan jawatan perdana menteri," katanya.

Tambah beliau, situasi seperti itu menjejaskan keyakinan pelabur di Malaysia.