Kupon percuma: SPR saran buat laporan polis

Azmi (baju biru) meninjau persiapan pusat penamaan calon PRK DUN Rantau di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.
Azmi (baju biru) meninjau persiapan pusat penamaan calon PRK DUN Rantau di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan mana-mana pihak membuat laporan polis berhubung isu pemberian kupon makanan percuma kepada pelajar lima buah sekolah sebelum hari penamaan calon PRK DUN Rantau.

Timbalan Pengerusinya, Prof Madya Dr Azmi Sharom berkata, ia bagi memastikan tindakan dapat diambil sekiranya aktiviti tersebut menyalahi undang-undang.

"Ini adalah suatu isu yang sangat serius. Jika ada sesiapa yang rasa bahawa ini adalah satu kesalahan, kami galakkan dan nasihatkan buat satu laporan polis supaya tindakan boleh diambil kepada sesiapa saja yang buat kesalahan ikut undang-undang kita," katanya kepada media selepas meninjau pusat penamaan calon PRK DUN Rantau di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Michael memberi sumbangan peribadi berbentuk kupon program makanan percuma kepada 300 murid kurang berkemampuan dari lima buah sekolah di sekitar Rantau.

Calon PH bagi DUN Rantau, Dr S Streram turut menghadiri dan mengagihkan kupon makanan percuma tersebut.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebarang penjamuan makanan dan minuman (treating) sebelum, semasa dan selepas pilihan raya adalah salah di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Masalahnya kita tak ada definisi dalam undang-undang ini tentang bilakah 'sebelum, semasa dan selepas'. Justeru itu, ini adalah satu 'grey area'

"Kalau kita lihat di United Kingdom mereka telah menyatakan bahawa 'sebelum' itu adalah apabila kita sudah tahu akan ada pilihan raya. Tetapi SPR tak boleh beri satu jawapan yang nyata kerana ini adalah sesuatu untuk ditentukan oleh mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berharap penyokong dapat bersabar bagi mengelakkan insiden kekecohan pada hari penamaan calon esok.

"Nasihat saya, sabarlah... kita nak mengundi, buang kertas undi. Sebab kita ada sistem yang aman, nak gaduh sebelum itu buat apa," katanya.