PRU15: UMNO tiada masalah kekal calon lama

Ismail Lasim
Ismail Lasim
A
A
A

SEREMBAN - UMNO tiada masalah untuk mengekalkan calon lama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya individu itu mempunyai rekod dan prestasi yang baik.

Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, individu yang berpengalaman diperlukan untuk memimpin sesebuah negara dan pada masa sama turut memerlukan pemimpin muda.

"Itu pandangan masing-masing. Tapi bagi saya, memberi peluang kepada orang muda tidak bermakna perlu mengenepikan orang lama.

"Dalam mana-mana pilihanraya, kita tidak boleh nak gantikan semuanya yang baharu. Ia tak boleh, kita perlu ada kombinasi, 30 peratus mungkin orang baharu namun, mereka yang masih berprestasi dan tiada masalah kita kekalkan," katanya pada sidang akhbar selepas hadir di Karnival Institusi Pendidikan Mara di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menempelak segelintir pemimpin veteran UMNO yang dilihat masih memegang jawatan dan hanya berjuang untuk kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, Ismail berkata, perlu ada keseimbangan antara orang lama dan baharu dalam PRU15.

Ditanya sama ada UMNO akan bertanding secara bersendirian pada PRU15, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Juasseh berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

"Di peringkat UMNO dan BN Negeri Sembilan, masih belum ada satu kenyataan dikeluarkan mengenainya.

"Tapi kita bersedia untuk bertanding sendirian seperti yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO," katanya.

Beliau turut memberitahu, UMNO Negeri Sembilan masih mempunyai hubungan baik dengan Pas dan tiada sebarang isu.