JAS terima 141 aduan pembakaran terbuka di Kedah

Robert Ling turut menanam anak pokok bakau ketika Program Kesedaran Komuniti Terhadap Pencegahan Pembakaran Terbuka di Komuniti Nelayan Sungai Udang, Yan pada Sabtu.
Robert Ling turut menanam anak pokok bakau ketika Program Kesedaran Komuniti Terhadap Pencegahan Pembakaran Terbuka di Komuniti Nelayan Sungai Udang, Yan pada Sabtu.
A
A
A

YAN - Sebanyak 141 aduan pembakaran terbuka direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negeri Kedah bermula Januari hingga pertengahan Jun 2022.

Exco Alam Sekitar, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, kebanyakan aduan berkenaan menjurus kepada aktiviti pembakaran terbuka membabitkan kawasan kediaman seperti di taman perumahan dan kampung sekali gus menyumbang kepada isu jerebu.

Menurutnya, kegiatan itu juga merupakan satu kesalahan yang boleh disabitkan hukuman bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Selain itu, kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan," katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Komuniti Terhadap Pencegahan Pembakaran Terbuka sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat negeri Kedah Tahun 2022 di Komuniti Nelayan, Sungai Udang di sini.

Antara peserta yang terlibat dalam aktiviti penanaman anak pokok bakau di pesisiran Sungai Udang, Yan.
Antara peserta yang terlibat dalam aktiviti penanaman anak pokok bakau di pesisiran Sungai Udang, Yan.

Hadir sama Pengarah JAS Kedah, Norazizi Adinan.

Menurut Robert, pelaksanaan program kesedaran komuniti tersebut merupakan salah satu daripada usaha menangani pencemaran udara terutama isu jerebu yang saban tahun melanda negara.

Di samping itu, beliau juga mengajak masyarakat supaya menghayati tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bagi tahun 2022 iaitu 'Hanya Satu Bumi' yang mana tema itu mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk sama-sama menghargai satu bumi yang didiami bersama.

Beliau turut merakamkan penghargaan di atas sokongan pihak swasta iaitu Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd yang menjadi rakan strategik dalam menjayakan program tersebut.

Turut diadakan, aktiviti menanam 200 anak pokok bakau dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kedah bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di pesisiran sungai bersempena Kempen 'Save Our Sea' anjuran Jabatan Perikanan Negeri Kedah, ceramah kesedaran terhadap larangan aktiviti pembakaran terbuka dan pameran.

Sementara itu, Norazizi berkata, KUDAH diharapkan mampu memberi kesedaran bahawa sampah itu perlu dikutip bukan dibakar bagi mengelakkan pembakaran terbuka.

"Kesemua aktiviti yang dijalankan diharap dapat menerapkan kesedaran terhadap usaha-usaha ke arah untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

Robert Ling menanam anak pokok bakau ketika Program Kesedaran Komuniti Terhadap Pencegahan Pembakaran Terbuka di Komuniti Nelayan Sungai Udang, Yan pada Sabtu.
Robert Ling menanam anak pokok bakau ketika Program Kesedaran Komuniti Terhadap Pencegahan Pembakaran Terbuka di Komuniti Nelayan Sungai Udang, Yan pada Sabtu.

"Objektif utama program ini adalah untuk memberikan penerangan kepada masyarakat atau komuniti setempat tentang peranan orang awam dan tindakan agensi pelaksana dalam mencegah aktiviti pembakaran terbuka," katanya.

Turut terlibat sebagai peserta, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya Sungai Petani dan Sekolah Kebangsaan Air Merah, Kulim.