Sungai Golok berada di paras berjaga-jaga

Air Sungai Golok mula melimpahi tebing apabila hujan turun sejak dua hari lalu. (Gambar kecil: Mohd Adni)
A
A

RANTAU PANJANG - Paras air Sungai Golok kini berada di paras berjaga-jaga ekoran hujan yang kadang kala lebat sejak dua hari lalu.

Ekoran itu, beberapa kawasan rendah terutama di Kampung Lachang mula dinaiki air Sungai Golok.

Bagaimanapun, urusan penduduk kampung berkenaan masih berjalan seperti biasa.

Menurut laman sesawang Infobanjir.water.gov.my setakat jam 11 pagi tadi menunjukkan paras air Sungai Golok sudah mencecah 7.66 meter iaitu berada pada tahap berjaga-jaga.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menasihatkan penduduk supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama paras air Sungai Golok.

"Ini bagi membolehkan mereka sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk berpindah," katanya.

Beliau berkata, sekiranya air terus menunjukkan trend peningkatan penduduk disaran supaya segera membuat persiapan lebih awal bagi melancarkan operasi pemindahan dijalankan.

Sekiranya hujan masih lagi turun dan paras air Sungai Jenob di Jeli meningkat berkemungkinan besar kawasan ini akan ditenggelami banjir.

Ini berikutan Sungai Golok dan Jenob mempunyai arah aliran yang sama.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia