Kanak-kanak didakwa hampir diculik lelaki berjubah putih

Christopher
Christopher
A
A
A

MELAKA - Polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang kanak-kanak perempuan hampir diculik lelaki berjubah dan berkopiah di Kampung Krubong di sini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung insiden itu daripada bapa mangsa berusia 45 tahun.

Menurutnya, berdasarkan laporan tersebut, dua kanak-kanak perempuan serta seorang anak saudaranya sedang berjalan kaki pulang ke rumah sebelum secara tiba-tiba ditegur oleh individu lelaki yang memakai jubah putih dan berkopiah.

"Difahamkan kira-kira jam 6 petang, tiga kanak-kanak balik mengaji dan mereka telah ditegur oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna perak.

"Lelaki terbabit dikatakan menarik tangan anak kedua pengadu berusia enam tahun masuk ke dalam kenderaan sebelum kakak mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak merentap bajunya dan menyebabkan suspek terus beredar," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, ketiga-tiga kanak-kanak itu kemudian terus pergi ke rumah ibu saudara berhampiran untuk menyelamatkan diri.

Ujarnya, bapa mangsa juga memaklumkan terdapat orang awam yang sempat mengecam nombor pendaftaraan kenderaan suspek.

"Bagaimanapun hasil semakan dua jenis nombor yang dilihat saksi mendapati ia adalah palsu dan tidak sama dengan jenis kenderaan digunakan suspek.

"Semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mendapati, dua jenis nombor pendaftaran kenderaan yang dicam saksi berdaftar atas kenderaan jenis Nissan Cefiro berwarna biru dan motosikal jenis Honda," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, saksi juga mengesahkan Proton Persona berwarna perak yang dinaiki suspek bercat hitam di bahagian pintu pemandu.

"Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berdekatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kamun Keseksaan kerana cubaan culik," katanya.