Pelajar hafiz 30 juzuk al-Quran dapat 12A SPM

Wan Ainul Izzah (kanan) ketika menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang dalam SPM yang diumumkan pada Khamis.
Wan Ainul Izzah (kanan) ketika menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang dalam SPM yang diumumkan pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Melazimkan diri melakukan qiamullail dan membaca al-Quran sebelum mengulangkaji pelajaran antara kunci kejayaan pelajar hafiz 30 juzuk al-Quran dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu.

Wan Ainul Izzah Wan Baderul Hisyam, 18, yang mendapat 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berkata, amalan kerohanian termasuk menjaga solat pada awal waktu serta sentiasa menunaikan solat secara berjemaah dijadikan rutin agar sentiasa mendekatkan diri dan mendapat keredaan ALLAH SWT.

Selain itu, Wan Ainul Izzah berkata, dia juga akan memastikan diri sentiasa memperbaharui niat iaitu menuntut ilmu kerana ALLAH SWT agar menjadi insan berguna kepada masyarakat

"Sebagai seorang pelajar, hubungan bersama guru perlu dijaga dengan sentiasa menghormati, membantu dan menjaga adab bersama mereka. Saya akan sentiasa memohon doa daripada ibu bapa agar mudah urusan belajar dan mendapat keputusan cemerlang kerana doa ibu bapa tiada hijab.

"Di sebalik kesibukan menelaah pelajaran, saya juga tidak lupa membahagikan masa antara belajar dan membantu ibu bapa ketika berada di rumah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Kongsinya lagi, ketika bersama rakan, dia juga tidak keberatan untuk berkongsi ilmu selain menelaah kembali setiap topik selepas diajar guru di dalam kelas.

"Jangan lokek untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan kerana ia adalah sikap murni yang terpuji. Moga kita mendapat ganjaran sisi Nya,"katanya.

Anak kepada pasangan guru, Nabilah Ghani, 45, dan Wan Baderul Hisyam Wan Mat Ali, 47, itu berhasrat menyambung pengajian dalam bidang farmasi serta bercita-cita menjadi ahli farmasi.

Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu merekodkan seramai 15 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 12A, 14 pelajar (11A), 13 pelajar (10A) dan 20 pelajar (9A) dengan merekodkan 1.57 bagi gred purata sekolah (GPS) SPM 2021.

Keputusan SPM 2021 di Terengganu yang diumumkan pada Khamis merekodkan seramai 321 pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan kombinasi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.