Selangor intai peluang tarik pelaburan Korea Selatan

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor sedang mengintai peluang terbaik untuk menarik pelaburan dalam pelbagai perkhidmatan dengan syarikat gergasi dari Korea Selatan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, misi pelaburan itu diteruskan ke negara berkenaan setelah usaha itu terhenti selama hampir dua tahun.

Beliau menyifatkan negara yang masyhur dengan fenomena 'halyu K-Pop' itu adalah sebuah negara yang maju dalam bidang teknologi, sains hayat dan perindustrian.

"Saya bersama-sama YB Exco Pelaburan menemui beberapa syarikat yang telah menyatakan hasrat untuk melabur di Selangor (sempena lawatan itu).

"Kami berkongsi 'success story' kerajaan negeri dengan syarikat aeroangkasa, perusahaan perisian permainan (gaming) serta gergasi teknologi pengurusan aset seperti air, tenaga solar dan beberapa lagi," katanya di laman Facebooknya pada Jumaat.

Amirudin mengadakan lawatan ke Korea Selatan bersama Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim.

Mereka juga turut mengunjungi loji rawatan air Seongnam milik K-Water yang dibina dengan kos sebanyak AS$1 juta yang mampu menghasilkan 786,000 meter padu sehari.

Beliau berkata, kemudahan itu membekalkan air bersih ke Seongnam dan sekitar dengan menggunakan teknologi terkini yang lestari serta mampu menjana tenaga sendiri.

"Lawatan ini juga akan terus diisi dengan aktiviti promosi pelaburan dengan syarikat petroleum serta F&B (industri makanan dan minuman) gergasi Korea (Selatan).

"Terima kasih banyak diucapkan kepada Kedutaan Malaysia serta MIDA Seoul. Mudah-mudahan misi pelaburan ini berjaya melonjakkan lagi pelaburan serta kerjasama Selangor-Korea di masa hadapan," ujarnya.