Covid-19: Kes harian baharu meningkat 32 peratus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes harian baharu Covid-19 mencatat peningkatan sekitar 32 peratus sepanjang hampir seminggu lalu dengan semalam (16 Jun) sebanyak 2,033 kes dilaporkan.

Berdasarkan data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang enam hari lepas (11 Jun hingga 16 Jun 2022), sebanyak 11,647 kes harian baharu Covid-19 direkod berbanding 8,812 kes untuk tempoh yang sama 4 Jun hingga 9 Jun 2022.

Rekod kes semalam menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 negara sebanyak 24,577 kes, sementara jumlah kes sejak pandemik ini melanda Malaysia lebih dua tahun lalu, sebanyak 4,534,665 kes.

Selangor kekal menyumbang kes harian tertinggi dengan 685 kes semalam, diikuti WP Kuala Lumpur 551 kes, Pulau Pinang 167 kes dan Perak 116 kes.

Negeri-negeri lain melaporkan kes harian baharu dua (2) angka iaitu Sabah (99 kes), Negeri Sembilan (94 kes), Johor (68 kes), Kedah (62 kes), Melaka (59 kes), Sarawak (38 kes), WP Putrajaya (37 kes), Pahang (28 kes) dan Kelantan (17 kes).

Dua buah negeri mencatat kes satu angka iaitu Terengganu (8 kes) dan Perlis (4 kes), sementara WP Labuan, sifar kes.

Berikut kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (11 Jun hingga 16 Jun 2022):-

11 Jun (1,709), 12 Jun (1,571), 13 Jun (2,092), 14 Jun (1,922), 15 Jun (2,320) dan 16 Jun (2,033).

Rekod kes harian baharu Covid-19 (4 Jun hingga 10 Jun 2022):-

4 Jun (1,591), 5 Jun (1,358), 6 Jun (1,330), 7 Jun (1,128), 8 Jun (1,518), 9 Jun (1,887) dan 10 Jun (2,166).

Sebanyak 1,337 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga pukul 11:59 malam 16 Jun 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,474,358

Protokol Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dilonggarkan mulai 1 Mei 2022, termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan daftar masuk (check-in) menggunakan MySejahtera

Malaysia kini berada dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022 sebagai "exit strategy” untuk membolehkan rakyat negara ini kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini juga, tiada sebarang kluster baharu dilaporkan.

Secara keseluruhannya, KKM mengesan sebanyak 7,015 kluster sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu. Setakat semalam (16 Jun), hanya tinggal empat (4) kluster yang masih aktif.

Dengan sebanyak 4,534,665 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 25 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) sebanyak 4,558,260 dan Portugal (5,005,783).

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jerman mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 89,151 dan diikuti Amerika Syarikat 76,023 kes dan Taiwan 63,221 kes.

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,037,928 kes.

Sementara itu, data CovidNow KKM setakat pukul 11:59 mlm 16 Jun 2022 menunjukkan sebanyak 23,573 kes (95.9 peratus) dikuarantin di rumah daripada 24,577 kes aktif Covid-19 yang dilaporkan.

Sebanyak 13 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 959 kes (3.9 peratus) di hospital; 14 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 18 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP. - Bernama