JKM cari ibu kandung enam kanak-kanak

Gambar atas dari kiri: Adam Adrian, Halimatun Saadiah, Nur Atiqah Abdullah. Gambar bawah dari kiri: Kan Loi Hoong, Tay Miao Xin, Muzammil Abdullah.
Gambar atas dari kiri: Adam Adrian, Halimatun Saadiah, Nur Atiqah Abdullah. Gambar bawah dari kiri: Kan Loi Hoong, Tay Miao Xin, Muzammil Abdullah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur mengesan ibu kandung atau waris kepada enam kanak-kanak bagi urusan dokumen pengenalan diri dan proses penempatan.

Pegawai Pelindung JKM, Ainie Haslinda Tew Sea Kia berkata, kes pertama iaitu kanak-kanak bernama Adam Adrian, 3, ditinggal ibu kandung dikenali sebagai Risma Bay pada 18 Disember 2015.

Menurutnya, kini kanak-kanak di tempatkan di institusi JKM di bawah Perintah Mahkamah Subseksyen 30 (1) (d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016 dan kes di bawah seliaan Pegawai Pelindung, Azizul Rahaman Zabidin.

Beliau berkata, bagi kes kedua, bayi berusia enam bulan, Kan Loi Hoong ditinggalkan ibu kandungnya seorang warga Vietnam, Phan Thi My Yen kepada warga tempatan bernama Kan Keng Choong pada 10 September tahun lalu untuk dijadikan anak angkat.

“Ibu kandung larikan diri dan enggan uruskan sijil kelahiran kanak-kanak disebabkan beliau tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan,” katanya.

Ainie berkata, bagi kes ketiga iaitu Halimatun Saadiah Abdullah, 9, diserahkan ibu kandung yang merupakan warga Indonesia dikenali nama Warsini kepada ibu angkat sejak hari pertama dilahirkan.

Penjaga tidak berupaya menjaga kanak-kanak setelah isterinya meninggal dunia dan menyerahkan Halimatun kepada warga tempatan bernama Nazariah Abdullah pada Januari 2014.

Penjaga kini menghadapi masalah untuk menghantar Halimatun ke sekolah kerana tidak ada dokumen penjagaan yang sah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes keempat, Nur Atiqah Abdullah, 6, pula dirujuk oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dibawa oleh guru sekolahnya untuk pemeriksaan lanjut dan disyaki didera oleh ibu angkatnya.

Maklumat awal diperolehi mendapati Atiqah diserahkan ibu kandung kepada keluarga angkat untuk dijaga sejak kanak-kanak berusia tiga bulan.

“Ibunya dipercayai tinggal di Sabak Bernam namun tiada maklumat terperinci diperolehi.

“Untuk ketiga-tiga kes kanak-kanak ini waris diminta berhubung dengan Pegawai Pelindung, Isnawati Abu Bakar di talian 03-2612 4000,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi waris dicari bagi kanak-kanak bernama Muzammil Abdullah, 8 dan Tay Miao Xin, 6.

Katanya, Muzammil dirujuk ke JKM oleh Wad Pediatrik, HKL pada 10 November 2011 kerana ibu dan bapa kandung didapati tidak dapat memberi pemeliharaan dan perlindungan sewajarnya pada masa tersebut.

Ia berikutan bapa kandungnya tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap manakala ibu kandung pula seorang orang kurang upaya mental dan tidak dapat menguruskan diri sendiri dengan baik.

“Waris boleh berhubung dengan Norizan Mohd Sidik di talian 03-26124000 untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala bagi kes Miao Xin yang ditinggalkan ibu kandung warga Vietnam dikenali sebagai Dong Thi Tuyet, waris boleh berhubung dengan pihaknya di nombor yang sama,” katanya.

Beliau menambah Miao Xin ditinggalkan ibu kandung ketika berusia sebulan dan dihantar ke Pertubuhan Pengurusan Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin ‘Anning’ Ipoh, Perak pada 23 November 2012.

Mahkamah memberi perintah sementara jagaan kanak-kanak kepada Kuah See Beng sehingga satu siasatan lanjut dapat dilakukan.