Pemilihan BDB sebagai kontraktor utama satu pengiktirafan

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyempurnakan pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di Stargate, pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyempurnakan pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di Stargate, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR – Pemilihan Bina Darul Aman Berhad (BDB) melalui anak syarikat iaitu BDB Synergy Sdn Bhd (BDB Synergy) sebagai kontraktor utama projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang disifatkan satu pengiktirafan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan BDB, Che Had Dhali berkata, kerajaan negeri telah menganugerahkan dan memilih BDB sebagai kontraktor utama projek itu pada 20 Mei 2021.

Beliau menyifatkan penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan kepada BDB dan BDB Synergy yang sememangnya mempunyai pengalaman dan rekod baik dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan khususnya bagi kerja-kerja berkaitan kemudahan infrastruktur bekalan air terawat dalam dan luar Kedah.

“Kami amat menghargai kepercayaan diletakkan pada bahu BDB dan BDB Synergy untuk membangunkan projek LRA utama yang akan membantu rakyat Kedah keluar daripada belenggu masalah gangguan bekalan air pada masa akan datang,”katanya.

“BDB Synergy yang dahulunya dikenali sebagai Kedah Sato Sdn Bhd telah telah berkecimpung dan menjayakan pelbagai projek berkaitan bekalan air terawat di Kedah sejak lebih tiga dekad lalu.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di Stargate, di sini, pada Khamis.

Katanya, BDB Synergy telah terbukti mempunyai rekod yang baik dalam menyiapkan pembinaan LRA apabila telah berjaya menyiapkan LRA Pokok Sena pada 2018, selain turut terlibat dalam projek LRA Kuala Ketil pada 2005 dan menaik taraf saluran paip dari Gurun ke Jeniang serta Sik ke Baling.

“BDB Synergy turut diberi kepercayaan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menjalankan kerja-kerja pendekatan satu di bawah program pengurangan air tidak berhasil kebangsaan bagi Perlis dengan nilai kontrak hampir RM40 juta pada 20 Februari 2020 dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Julai tahun ini,”katanya.

Oleh itu, Che Had berkata, sebarang keraguan terhadap kemampuan dan keupayaan yang dimiliki BDB Synergy untuk menjayakan projek ini tidak perlu ada sama sekali dan ia telah terbukti.

Beliau memberi jaminan BDB sememangnya akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dijalankan memandangkan BDB tidak melihat dari sudut keuntungan semata-mata tetapi juga membantu kerajaan membangunkan negeri ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri diharapkan akan terus memberikan kepercayaan kepada BDB untuk menjayakan projek pembangunan yang memberikan impak yang besar kepada rakyat, sekaligus dapat bersama-sama membangunkan Kedah,” katanya.

Che Had turut memohin kerjasama daripada semua pihak tidak kira samada agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan serta syarikat milik kerajaan (GLC) untuk memberi kerjasama memudahcara kepada BDB dan BDB Synergy untuk melaksanakan projek ini.

“Sesungguhnya projek ini tidak akan dapat dijayakan dengan sempurna sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha untuk membantu rakyat Kedah keluar daripada masalah gangguan bekalan air pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum itu, Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Stargate, di sini, pada Khamis.