Tarikh sesuai PRU15 sehingga habis penggal: Dr Mahathir

Dr Mahathir (duduk tengah) selepas menyaksikan memorandum pesefahaman (MoU) Pejuang Muda dan Silver Gold Collector Group di ibu pejabat Pejuang di Putrajaya pada Khamis.
Dr Mahathir (duduk tengah) selepas menyaksikan memorandum pesefahaman (MoU) Pejuang Muda dan Silver Gold Collector Group di ibu pejabat Pejuang di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tarikh sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah sehingga habis penggal.

Bagaimanapun katanya, Barisan Nasional (BN) dilihat mahu mengambil peluang terhadap parti lawan membabitkan tarikh PRU15 terbabit.

“Tarikh yang sesuai ialah kalau kita ikut jadual PRU15. Itu tarikh sesuai.

“Tapi saya dapati pihak kerajaan nak ambil peluang (terhadap) parti-parti lawan tidak bersedia supaya diadakan pilihan raya lebih awal supaya mereka mendapat kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) Pejuang Muda dan Silver Gold Collector Group di ibu pejabat parti itu di sini, pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menyatakan bahawa kerap berbincang mengenai tarikh PRU15 akan memberi kesan kepada kestabilan politik.

Ismail Sabri berkata, setiap hari negara semakin hampir dengan tarikh PRU15.

Jelasnya, kerajaan yang ada ketika ini berada dalam keadaan stabil dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara pemimpin parti di dalam kerajaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa dirinya sudah tidak relevan, Ahli Parlimen Langkawi itu menyatakan itu pendapat Pengerusi Lembaga Penasihat BN terbabit.

“Itu adalah pandangan dia. Orang lain mempunyai pandangan lain.

“Dia mempunyai hak untuk menganggap semua orang sebagai tidak relevan,” katanya.

Najib pada 1 Jun lalu dilapor menyatakan bahawa Dr Mahathir sudah dilihat tidak relevan lagi.

Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi kempen bekas Perdana Menteri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini di Ayer Hitam.