Dua sahabat karib kongsi kejayaan peroleh 9A+

Emir Faliq (dua dari kiri) dan Nur Aina (dua dari kanan) dicium ibu masing-masing selepas diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang SPM 2021 bagi Pulau Pinang.
Emir Faliq (dua dari kiri) dan Nur Aina (dua dari kanan) dicium ibu masing-masing selepas diumumkan sebagai antara pelajar cemerlang SPM 2021 bagi Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua kawan karib berkongsi kegembiraan apabila kedua-duanya memperolehi A+ untuk semua pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi 2021.

Emir Faliq Lim Adam Lim dan Nur Aina Fadhlina Ahmad Fazli, masing-masing berusia 18 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul merupakan antara 17 pelajar terbaik SPM bagi Pulau Pinang yang diumumkan pada Khamis.

Emir Faliq yang tinggal di Sungai Ara berkata, dia amat bersyukur kerana memperolehi 9A+ bagi semua matapelajaran yang diambil, hasil daripada usahanya selama ini.

Menurutnya, cabaran paling sukar baginya ketika membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) yang digunapakai sepanjang dua tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

"Hampir dua tahun saya dan rakan-rakan terpaksa belajar tanpa bersemuka, hanya melalui dalam talian sahaja (PdPR). Ini lah cabaran paling getir buat saya dan rakan-rakan. Namun atas usaha tanpa putus asa, akhirnya saya memperolehi kejayaan ini.

"Kejayaan saya ini saya dedikasikan kepada ibu bapa, keluarga dan guru-guru yang banyak membantu saya selama ini," katanya ketika ditemui di SMK Bukit Jambul di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia membuat jadual belajar sendiri yang mana menetapkan tiga jam sehari secara konsisten untuk mengulangkaji pelajaran.

"Setiap hari saya akan tetapkan tiga jam untuk belajar, selalunya pada waktu pagi. Jika saya tidak larat, saya akan belajar pada waktu malam. Setiap hari saya buat tanpa 'ponteng' mengulangkaji.

"Selain belajar sendiri, saya juga ada membuat perbincangan rakan-rakan lain, selain bertukar nota pembelajaran. Dengan cara itu, ia lebih memudahkan kami memahami setiap subjek yang diajar oleh guru," katanya.

Ibunya, Zarina Mohd Ibrahim, 46, berkata, kejayaan anak bongsunya itu adalah berkat daripada usaha keras yang dilakukan sepanjang dua tahun lalu.

"Jujur saya katakan, anak saya ini seorang yang pendiam. Dia dari kecil, banyak buat hal sendiri namun saya tahu, dia amat komited dalam pelajaran.

"Saya tahu dia belajar dengan bersungguh-sungguh dan keyakinan saya itu terbalas apabila dia diumumkan antara pelajar terbaik Pulau Pinang untuk peperiksaan SPM bagi tahun 2021," katanya.

Sementara itu, Nur Aina Fadhlina berkata, perbincangan antara rakan-rakan lain termasuk Emir Faliq antara faktor yang membantunya untuk memahami setiap subjek kerana kaedah PdPR adalah satu sistem baharu untuk pelajar ketika pandemik.

Bagaimanapun kata pelajar aliran Sains itu, guru dan sokongan keluarga juga telah menyuntik semangat untuknya dalam mendapat keputusan yang cemerlang.

"Saya, Emir Faliq dan beberapa rakan lain sering berinteraksi melalui dalam talian untuk berbincang selain bertukar nota sepanjang pembelajaran melalui PdPR ini. Selain itu, saya dan rakan-rakan tidak pernah ponteng kelas walaupun diadakan secara dalam talian.

"Alhamdulillah segala usaha kami membuahkan hasil kerana saya dan rakan-rakan lain memperolehi semua A dalam semua matapelajaran yang diambil," katanya.

Dalam pada itu, ibu Nur Aina yang juga ibu tunggal, Nordibradini Selamat, 46, bersyukur kerana anak sulungnya itu memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM bagi tahun 2021.

Kata pensyarah institusi pengajian tinggi awam itu, segala pengorbanan dan usaha Nur Aina terbalas dengan keputusan tersebut.

"Saya bersyukur kerana saya nampak usaha anak saya selama ini. Dia pandai membahagikan masa selain berusaha keras untuk memperolehi keputusan cemerlang sekali gus membolehkannya mencapai cita-cita sebagai akauntan," katanya.